KUALA LUMPUR,18 Julai - Aruel & The Fasola bakal menggamit memori indah menerusi Malam Pesta Ronggeng yang dijadual berlangsung pada 15 dan 16 Ogos ini di Kuala Lumpur.
Acara itu terus memartabatkan muzik klasik dari era 1940-an hingga 1960-an yang diolah semula dalam gaya moden dan rancak, sesuai dengan cita rasa generasi masa kini.
Menurut Aruel atau nama sebenarnya Muhammad Fhazrill Fesol, ini merupakan kali pertama beliau bersama The Fasola membuat persembahan di khalayak ramai.
“Saya memang sangat teruja dan pada masa yang sama, tidak dapat dinafikan ada rasa gementar. Sebagai penyanyi yang sebelum ini bergerak secara ‘underground’, terpilih untuk membuat persembahan di khalayak ramai, merupakan satu peluang yang amat besar buat saya.
“Saya amat menghargai kepercayaan yang diberikan dan berharap segalanya akan berjalan lancar,” katanya ketika ditemui pada majlis sidang media Malam Ronggeng Aruel & The Fasola yang diadakan di sini.
Tambahnya lagi, malam itu bakal menampilkan lagu-lagu nostalgia, khususnya karya seniman agung Allahyarham Tan Sri P. Ramlee dan Allahyarhamah Biduanita Negara Puan Sri Datin Amar Salmah Ismail atau lebih dikenali sebagai Saloma, dengan iringan 10 pemuzik profesional.