fb fb fb fb fb

Shahir, Jaskin bersatu

KUALA LUMPUR, 3 September- Penyanyi, Shahir Zawawi kini sah bergelar suami kepada wanita pilihannya, Jaludin Jaskin.

Shahir diijabkabulkan oleh bapa pengantin, Jaludin Nongche dengan disaksikan Penolong Pendaftar Nikah, Ustaz Muhammad Hakimi Mustapai dan bapa pengantin lelaki, Zawawi Abdullah sekitar pukul 9.10 malam tadi.

Majlis yang dihadiri keluarga, teman rapat dan rakan media itu menyaksikan pengantin lelaki menyerahkan mas kahwin RM300 kepada pengantin perempuan dengan wang hantaran bernilai RM20,000.

Pasangan merpati dua sejoli itu tampil dengan busana putih pada hari pernikahan, diserikan lagi dengan gubahan cantik dulang hantaran lima berbalas tujuh.

Majlis penuh bermakna itu berlangsung di sebuah premis perkahwinan tertutup di One City, Subang Jaya.

Warganet serta pengikut di media sosial mula menghujani komen tahniah di media sosial Shahir dan turut mendoakan perkahwinan yang didirikan kekal sehingga penghujungnya.

Shahir, atau nama sebenarnya Ahmad Shahir Zawawi menghilang seketika daripada dunia seni dan kini tampil dengan single terbaharunya yang berjudul Halal.

Penyanyi lagu Kebahagiaan Dalam Perpisahan itu juga akan melangsungkan majlis resepsinya hari ini.


(Sekitar majlis pernikahan penyanyi, Shahir Zawawi dan Jaskin Jaludin di Subang Jaya/FB)

Media Baharu