KUALA LUMPUR, 10 September - Khas meraikan sambutan Hari Malaysia pada 16 September ini, Radio Televisyen Malaysia (RTM) akan membawakan telefilem istimewa bertajuk 'Tuan Raban Bansa' yang mengangkat warisan Iban Sarawak kepada seluruh rakyat Malaysia.
Telefilem yang akan disiarkan pada 16 September pada pukul 10.30 malam itu dapat ditonton menerusi saluran Okey dan RTMKlik.
Telefilem tersebut menjalani penggambaran di Rumah Panjang Margertta Julau dan sekitar bandar Sibu, Sarawak. Ia mengisahkan mengenai Ngelai yang dipisahkan dengan
keluarganya sejak daripada kecil. Ngelai telah dibesarkan di bandar sehingga berjaya ke menara gading. Ngelai kemudiannya jatuh cinta dengan seorang gadis bandar, Muni tetapi mendapat tentangan dari bapa wanita itu.
Ngelai telah dipanggil pulang ke rumah panjang asalnya untuk menggantikan tempat ayahnya sebagai tuai . Ayahnya meningggal dunia selepas dibunuh oleh adiknya sendiri angkara perebutan tanah.
Ketika kembali ke rumah panjang itu, Ngelai berjaya memajukan penduduk rumah panjang. Ciri-ciri kepahlawanan dan kepimpinan sebagai Tuai Raban Bansa telah terserlah pada diri Ngelai dan mengambil Melia gadis rumah panjang itu sebagai isterinya. Namun apakah kesudahan hubungannya dengan Muni?