KUALA LUMPUR, 27 Julai- Usahawan dan selebriti, Fazura julung kali berkolaborasi dengan Kementerian Pendidikan (KPM) menerusi rekaan tudung bertemakan motif sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia.
Pemilik nama penuh Nur Fazura Sharifuddin berkata, kolaborasi berkenaan merupakan inisiatif bagi menyemarakkan sambutan berkenaan tahun ini.
Koleksi berkenaan menampilkan 12 rekaan unik beraneka warna bertepatan dengan tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia pada tahun ini, iaitu ‘Malaysia MADANI: Jiwa Merdeka’.
Rekaannya juga diambil daripada inspirasi warna-warna Jalur Gemilang, lakaran landskap ikonik tempatan dan kemeriahan kehidupan masyarakat majmuk di Malaysia.
"Sangat berbesar hati kerana kita tahu prospek KPM memang sangat besar dan objektifnya adalah kita mengembangkan jangkauan kepada semua orang.
"...jadi semua rakyat Malaysia boleh pakai dan lebih banyak kerjasama kita akan hasilkan nanti untuk memupuk semangat kemerdekaan dalam diri kita," katanya dalam Majlis Peluncuran koleksi Merdeka 2024 PROSPEC KPM X FAZURA di ibu negara.
Sementara itu Menteri Pendidikan Fadlina Sidek menyambut baik kolaborasi sulung antara Fazura dan KPM dilihat sebagai satu kerjasama awam dengan swasta dalam menterjemahkan hasrat dan mesej jelas jiwa merdeka anak Malaysia.
"Mesej yang sangat kuat tentang jiwa merdeka dan semangat menyambut hari merdeka jadi kita cuba ah sedaya upaya untuk maknanya memastikan kolaborasi ini berjaya dengan semangat kemerdekaan dan jiwa merdeka yang tinggi," katanya.