KUALA LUMPUR, 29 September - Jaclyn Chia dari Sabah berjaya dinobatkan sebagai juara pada Kemuncak Bintang Ai 2024 setelah mengalahkan lapan peserta yang lain malam tadi.
Peserta berusia 21 tahun itu membawa pulang hadiah berjumlah RM32,187 berserta trofi, sijil, dan hadiah iringan.
"Saya sangat bersyukur, amat gembira dan sangat berterima kasih kepada semua penyokong, keluarga saya, dan para juri yang memberikan keyakinan kepada Jaclyn. Keluarga Jaclyn memberi sokongan yang sangat-sangat banyak kepada saya," kata Jacyn ketika ditemui RTM malam tadi.
"Boleh nampak Jaclyn betul-betul seorang pemenang yang menyeluruh dari segi cara dan kemahiran menyanyi serta persembahannya. Ada satu ciri yang unik dalam nyanyiannya; kita boleh rasa ketika dia menyanyi, memang mudah tersentuh dengan cara persembahannya," menurut Penolong Pengarah AiFM, Lim Yen Leng.
Sementara itu, naib juara pula disandang peserta berusia 17 tahun, Lau Ern Jun dengan hadiah bernilai RM26,187.
Manakala tempat ketiga diungguli peserta termuda yang berusia 15 iaitu Chai Jian Le yang turut memenangi persembahan terbaik.
Pertandingan anjuran Ai FM itu berlangsung dengan meriah di Auditorium Seri Angkasa, Angkasapuri Kota Media.
Istimewanya pada kali ini pertandingan disertai penyanyi berbakat yang berusia antara 15 hingga 30 tahun dari seluruh negara.