fb fb fb fb fb

FFM34 serlah dinamika dan kepelbagaian karya tempatan

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Datuk Azmir Saifuddin Mutalib/RTM

KUALA LUMPUR, 31 Oktober - FFM34 kembali dengan kelainan melalui tema “Sinematik dan Industri Dinamik”, meraikan kepelbagaian genre yang mencerminkan evolusi dan daya saing industri filem Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Datuk Azmir Saifuddin Mutalib, berkata penganjuran kali ini meraikan kepelbagaian karya tempatan merangkumi genre kekeluargaan, aksi, seram dan drama.

“Kita ingin mengetengahkan kepelbagaian karya ini sebagai tanda kematangan industri. Kali ini kita bawakan filem pelbagai genre daripada family, aksi seperti Blood Brothers, hingga seram", katanya demikian selepas menjadi tetamu Selamat Pagi Malaysia di Kota Media di sini hari ini.

Menurutnya, Malam Anugerah FFM34 bakal menampilkan barisan pengacara dan artis terkenal, termasuk Datuk Afdlin Shauki dan Che Puan Sarimah Ibrahim sebagai pengacara utama, selain persembahan istimewa oleh Ziana Zain, Azlan & The Typewriter, serta Man Bai.

Beliau turut yakin penganjuran kali ini bakal mendapat sambutan luar biasa daripada warga seni berdasarkan kehadiran artis semasa majlis pelancaran bulan lalu.

“Sambutan semasa pembukaan bulan lalu amat memberangsangkan apabila semua artis hadir, sekali gus mencerminkan sokongan kuat mereka terhadap industri ini,” tambahnya.

Dalam pada itu, Datuk Azmir berkata kejayaan filem tempatan seperti Ejen Ali 2 membuktikan karya tempatan terus mendapat tempat di hati penonton, dengan kutipan box office mencecah jutaan ringgit.

Beliau turut menegaskan, FINAS komited memastikan kebajikan penggiat industri terus terpelihara melalui pelaksanaan kontrak kerja yang adil dan sistem sokongan yang kukuh bagi memperkukuh profesionalisme dalam sektor perfileman negara.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD