KUALA LUMPUR, 29 Mac- Dokumentari perjalanan seni pelakon veteran, Norlia Ghani, 75, disiarkan secara istimewa sempena sambutan ulang tahun Radio Televisyen Malaysia (RTM) ke-78 menerusi saluran Okey pada April ini.
Ikuti perjalanan karier beliau yang dicungkil bakatnya oleh Seniman Agung, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee.
Pelbagai memori bakal dikongsi beliau sepanjang bergelar anak seni menerusi 'Dokumentari Norlia Ghani, Permata di Hujung Usia' yang disiar pada 1 April depan, pukul 10.00 malam.
Turut ditemu bual adalah anaknya yang juga pelakon, Rusdi Ramli; rakan pelakon, A.R Badul; pengarah televisyen, Zahora Gany Batusha@Lola dan Rashid Sibir.
Sempena Hari RTM ke-78, RTM turut menjanjikan pelbagai pengisian menarik kepada penonton setia saluran TV1, TV2 dan Okey, malah kesemua program yang telah bersiaran boleh ditonton semula di RTMKlik menerusi rtmklik.rtm.gov.my.
Enam program khas menanti penonton saluran utama TV1 bermula pada 30 Mac ini, pukul 11.00 pagi, disiarkan program 'Cuit Sikit Jangan Sentap' yang mengetengahkan isu golongan muda, diikuti program 'Iris Wanita' pada 31 Mac, pukul 11.00 pagi yang membincangkan isu dan topik berkaitan wanita.
Sementara itu, saksikan program bual bicara, Bicara Naratif pada 1 April ini, pukul 9.00 malam dengan penampilan khas Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil yang berkongsi aspirasi RTM sebagai stesen penyiaran terunggul negara.
Program 'Cuit Sikit Jangan Sentap' dan 'Iris Wanita'
"Menyusul selepas itu, drama pendek terbitan Unit Drama TV (UDTV) RTM bertajuk 'Hari Itu Dalam Sejarah' disiarkan pada 1 April ini, pukul 10.30 malam. Drama yang berlatar tahun 80-an ini dibintangi Khir Rahman, Raja Azrey, Nadia Aqilah, Dewa Sapri,Putera dan Kumpulan Takal mengisahkan seorang guru yang pertama memiliki televisyen warna dan telah menjadi kebanggaan penduduk kampung.
"UDTV RTM juga turut menerbitkan telefilem khas iaitu 'Perang Panjut Tujuh Likur' disiarkan pada 6 April ini, pukul 9.00 malam yang menampilkan gandingan pelakon utama Fadilah Mansor, Hamidah Wahab, Fauziah Nawi, Dalimawati dan lain-lain," menurut RTM dalam kenyataan hari ini.
Saluran TV2 juga tidak kurang meriahnya dengan menjanjikan tayangan filem 'Karnan' pada 31 Mac ini, pukul 9.00 malam yang diinspirasikan daripada sebuah kisah benar yang terjadi pada tahun 1955 di Podiyankulam, Tamil Nadu.
Ia kemudian diikuti drama 'Pendoa Yang Ikhlas' dan 'Rindu' pada 1 dan 2 April, pukul 9.00 malam.
Akhir sekali, RTM mengajak penonton mengimbas kembali drama yang telah dinobatkan sebagai Telefilem Terbaik dalam Anugerah Telenovela 2023 bertajuk 'Sesekali' yang akan bersiaran pada 1 April ini, pukul 4.00 petang.
Drama arahan Hisyamudian Ahmad itu turut mengungguli kategori Pengarah Telefilem Terbaik, Pelakon Lelaki Telefilem Terbaik (Beto Kusyairi), Pelakon Pembantu Telefilem Terbaik (Hariry Jalil) dan Penulis Skrip Telefilem Terbaik (Lily Haslina Nasir).