fb fb fb fb fb

Dokumentari "Demi Lencana di Dada", julang jasa barisan hadapan

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 20 Ogos- Dokumentari khas Hari Kebangsaan bertajuk "Demi Lencana di Dada" bakal menemui penonton 31 Ogos hingga 3 September ini.

Radio Televisyen Malaysia (RTM) dalam satu kenyataan berkata dokumentari empat episod itu mengetengahkan topik berbeza dan juga latar belakang pekerjaan badan beruniform yang dipilih, pada setiap episod.

Paparan kisah perjuangan pengorbanan demi negara juga cabaran kisah suka duka tugasan mereka turut dikongsikan.

"Ikuti kisah tugas Pegawai Maritim iaitu tentang badan penguat kuasa yang merupakan benteng pertahanan negara yang sangat penting dalam mempertahan keselamatan dan ketenteraman awam."

"Seterusnya, memfokuskan satu unit yang jarang diketahui ramai iaitu Rapid Action Troop atau Trup Tindakan Pantas oleh Jabatan Penjara Malaysia dalam memastikan keselamatan baik dalam dan luar penjara sentiasa terjamin."

"Dua lagi episod iaitu melibatkan Unit Udara Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang mula mengambil pelatih juruterbang dalam kalangan pegawai wanita sejak tahun 2021. Ia adalah pegawai wanita kumpulan pertama sejak unit itu ditubuhkan pada 1979," kata kenyataan itu.

Tambah kenyataan itu, dengan siaran dokumentari tersebut dapat menyemarakkan lagi rasa kecintaan masyarakat terhadap negara selain menghayati perjuangan barisan hadapan.

Program itu bakal disiarkan pada pukul 12.00 tengah hari, 31 Ogos hingga 3 September di saluran TV Okey dan RTMKlik.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM