PETALING JAYA, 23 November – Sempena meraikan 25 tahun perjalanan seni dalam industri muzik tanah air, penyanyi terkenal Dayang Nurfaizah melancarkan album baharu bertajuk Janji, yang memuatkan 13 buah lagu.
Antara lagu istimewa yang dimuatkan dalam album ini adalah Mencintai Cinta, hasil ciptaan komposer Ajai dan lirik oleh sahabat baiknya, Allahyarham Iman Imran.
Lagu tersebut dihasilkan sebagai tanda penghormatan Dayang kepada Allahyarham yang mempunyai tempat istimewa di hatinya.
"Ini album ke-11 Dayang dan janji Dayang kepada peminat untuk terus memberikan yang terbaik. Lagu Mencintai Cinta sangat istimewa kerana ditulis oleh Allahyarham Abang Rudy, seorang sahabat yang Dayang hormati.
"Album ini Dayang dedikasikan untuk beliau, menjadikannya salah satu album yang paling berharga sepanjang karier 25 tahun Dayang," katanya kepada pemberita.
Janji mengetengahkan tema cinta, harapan, dan kekuatan, dipersembahkan dalam variasi lagu balada dan rancak.
Album itu turut menampilkan kolaborasi bersama penerbit dan penulis lagu terkenal seperti Aubrey Suwito, Audi Mok, Aisha Retno dan ramai lagi.
Sebagai penghargaan kepada peminat, Dayang turut merakamkan semula lagu Hakikat Cinta dalam versi baharu dengan sentuhan segar oleh Genervie Kam.
Janji dihasilkan sebagai simbol dedikasi dan tanda kasih sayang Dayang kepada peminatnya sepanjang dua dekad setengah dalam dunia seni.