fb fb fb fb fb

Annuar Musa lepaskan jawatan Presiden KL City FC

PUTRAJAYA, 23 Februari- Tan Sri Annuar Musa bakal melepaskan jawatan presiden Kuala Lumpur City FC.

Ia susulan kekangan masa dalam memainkan peranan sebagai presiden sejak memimpin Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM).

“Kita perlu berlaku adil, kita tak boleh nak bergayut pada jawatan kalau kita rasakan kita ada kekurangan atau jangkakan ada orang lain yang boleh buat lebih baik, jadi saya dah buat setakat saya mampu.

“Sejak berada di KKMM banyak perkara saya nak buat bersama KL City FC tetapi tak dapat kerana kekangan masa. Jadi eloklah KL City FC pun sedang meningkat, elok ada seseorang yang dapat memberikan bimbingan seterusnya kerana KL City FC mempunyai potensi sangat besar,” katanya.

Pada masa sama, Annuar berkata hasratnya itu telah disampaikan secara lisan sebelum menyerahkan notis peletakan jawatan sebagai memuktamadkan keputusannya itu.

Sementara itu, beliau berkata meskipun tidak lagi bersama skuad The City Boys, beliau sentiasa bersedia memberikan input berguna demi kemajuan pasukan.

Sebagai rekod, Annuar dilantik sebagai presiden KL City FC pada Februari 2021 dan merupakan antara watak penting yang menjadi kunci utama kebangkitan serta kejayaan pasukan itu musim lalu.

Disember lepas, KL City FC menamatkan penantian 32 tahun untuk merangkul Piala Malaysia selepas mengatasi Johor Darul Ta’zim (JDT) 2-0 sekali gus mengesahkan tempat ke saingan Piala AFC 2022.

Dalam saingan Liga Super 2021, KL City FC menamatkan saingan di tempat keenam selepas merekodkan lapan kemenangan, sembilan seri dan tewas lima sekali gus mengumpul 33 mata daripada keseluruhan 22 perlawanan.

Media Baharu