KUALA LUMPUR, 26 Mei- Penyanyi dan komposer terkenal negara Aina Abdul terus mengekalkan sinar dalam industri muzik apabila terpilih menyanyikan lagu rasmi Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 berjudul Our Land, Our Home.
Lagu yang sarat dengan mesej perpaduan serantau itu tersebut merupakan hasil kolaborasi Aina bersama komposer tersohor, Datuk Mokhzani Ismail dan penulis lirik, Rafiza Rahman.
Pelantun lagu Jangan Mati Rasa itu turut meluahkan rasa syukur dan terharu apabila dipilih untuk menyampaikan lagu tema sempena persidangan berprestij itu.
"Saya ingin mengucapkan terima kasih kerana memilih saya sebagai penyanyi tema untuk lagu rasmi ASEAN Summit 2025. Saya sangat berbesar hati apabila dipilih menyanyikan lagu yang sangat bermakna ini. Ia satu pengalaman baharu juga untuk saya.
"Lagu berjudul Our Land Our Home itu ditulis oleh Datuk Mokhzani. Saya juga berterima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam pembikinan lagu yang sarat dengan mesej perpaduan serantau itu," katanya.
Lagu Our Land, Our Home dirakam bersama Orkestra RTM dan kini menjadi antara elemen penting dalam menyemarakkan suasana Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 di ibu negara.

Datuk Mokhzani Ismail
Sementara itu, Pengarah Muzik Radio Televisyen Malaysia Datuk Mokhzani Ismail selaku pencipta dan penerbit lagu itu berkata, beliau mengkaji peranan ASEAN secara keseluruhannya sebelum menghasilkan melodi lagu berkonsep antarabangsa itu.
"Kalau kita lihat setiap bait lirik mempunyai makna cukup mendalam kerana saya terlebih dahulu mengkaji bagaimana peranan penyatuan, kebersamaan dan juga latar belakang berbeza dalam ASEAN.
"Jadi saya satukan semua elemen dalam lagu tersebut. Bagi lagu yang berdurasi kurang daripada empat minit dan perlu dimasukkan elemen asean itu bukan mudah. Di hujung lagu pula saya masukkan elemen tradisional yang berunsur tempatan.
"Saya suka tajuk Our Land Our Home diberi oleh penulis lirik, Rafiza Rahman yang juga Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) dari Kementerian Komunikasi. Setiap bait lirik dicipta dengan semangat untuk menyatukan rakyat Asia Tenggara sebagai satu komuniti besar yang meraikan kepelbagaian budaya dan latar belakang.
"Lirik tersebut menyampaikan mesej kekuatan melalui kerjasama, saling menghormati dan perpaduan antara negara-negara ASEAN. " katanya lagi.
Jelas Datuk Mokhzani, pemilihan penyanyi dibuat terlebih dahulu kerana melodi lagu berkenaan harus dihasilkan mengikut lontaran vokal penyanyi.
Pengalaman bekerjasama dengan Aina Abdul sebelum itu membuatkan beliau yakin dengan kemampuan Aina sebagai penyanyi yang bertanggungjawab membawa dan menyampaikan lagu tersebut dengan penuh penghayatan.