Zoo Beauval sambut kelahiran anak gajah betina

FOTO REUTERS

PERANCIS, 16 Februari – Zoo Beauval di tengah Perancis menyambut kelahiran seekor anak gajah betina awal pagi Ahad selepas ibunya, N’Dala, melalui proses kelahiran selama tujuh jam.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kelahiran anak gajah betina selepas proses bersalin sukar selama tujuh jam.
  • Ibu N’Dala, yang mengalami kehilangan penglihatan, berjaya menyusukan anaknya melalui sentuhan.
  • Zoo Beauval berharap kelahiran ini diikuti oleh kelahiran kedua dari gajah betina lain, Ashanti.

Anak gajah seberat 150 kilogram itu dilahirkan pada pukul 4.00 pagi waktu tempatan dan disifatkan Pengarah Zoo Beauval, Rodolphe Delord sebagai sangat besar.

Menurut beliau, proses kelahiran itu bukan sesuatu yang mudah dan pihak zoo pada awalnya tidak pasti sama ada ibu dan anak berkenaan dapat diselamatkan.

“Menjelang penghujung proses, kami hanya berharap dapat menyelamatkan nyawa si ibu,” katanya.

Gajah Afrika berusia 37 tahun itu bunting lebih 21 bulan sebelum melahirkan anaknya. Ini merupakan kelahiran keduanya selepas kali pertama pada 2012.

Beberapa tahun lalu, N’Dala dilaporkan kehilangan penglihatan tanpa punca khusus. Keadaan itu menyebabkan ia perlu bergantung pada deria sentuhan untuk mengenali dan menyusukan anaknya, menurut penjaga haiwan di Zoo Beauval.

Tidak lama selepas dilahirkan, anak gajah tersebut sudah mampu berdiri dengan keempat-empat kakinya dan menyusu.

Zoo Beauval sebelum ini berdepan tempoh 13 tahun tanpa kelahiran gajah dan kini berharap dapat menyambut seekor lagi anak gajah dalam masa terdekat apabila seekor lagi gajah betina, Ashanti, turut bunting.-REUTERS