Yoon Suk Yeol dipenjara seumur hidup, disabit dalangi pemberontakan

Bekas Presiden Korea Selatan, Yoon Suk Yeol/REUTERS

SEOUL, 19 Februari– Bekas Presiden Korea Selatan, Yoon Suk Yeol dijatuhi hukuman penjara seumur hidup oleh mahkamah di Seoul selepas didapati bersalah mendalangi pemberontakan berkait cubaan beliau mengisytiharkan darurat tentera pada Disember 2024.

RINGKASAN BERITA AI
  • Mahkamah Seoul mendapati Yoon berkonspirasi dengan menteri pertahanan untuk menggugat perlembagaan dan perintah undang-undang.
  • Yoon diperintahkan mengerahkan tentera ke Parlimen bagi melumpuhkan badan perundangan.
  • Hakim menyatakan tindakan memenuhi elemen pemberontakan dan membawa impak sosial besar kepada negara.
  • Peguam bela mempertikaikan proses perbicaraan dan mempertimbangkan rayuan terhadap keputusan hukuman seumur hidup.

Pasukan peguam bela beliau mendakwa mahkamah mengabaikan prinsip asas penghakiman berasaskan bukti.

Salah seorang peguamnya, Yoon Kab-keun, mempersoalkan sama ada puluhan prosiding yang berlangsung sepanjang tahun lalu sekadar formaliti prosedur.

Beliau berkata, pihaknya akan berbincang dengan Yoon sama ada untuk mengemukakan rayuan terhadap keputusan tersebut.

Dalam perbicaraan berprofil tinggi itu, pihak pendakwaan sebelum ini menuntut hukuman mati, menjadikannya kes paling signifikan setakat ini terhadap pemimpin yang digulingkan susulan tindakannya yang mencetuskan krisis politik nasional serta menguji ketahanan sistem demokrasi negara itu.

Hakim Jee Kui-youn ketika membacakan keputusan berkata, mahkamah mendapati Yoon berkonspirasi dengan menteri pertahanannya ketika itu untuk menggugat perintah perlembagaan dengan mengerahkan tentera ke bangunan Parlimen bagi melumpuhkan badan perundangan.

Menurut hakim, tindakan mengerahkan tentera, cubaan melakukan tangkapan serta langkah-langkah lain di bawah pengisytiharan darurat tentera tersebut memenuhi elemen pemberontakan, selain membawa kos sosial yang besar kepada negara.

Di bawah undang-undang Korea Selatan, kesalahan mendalangi pemberontakan memperuntukkan hukuman maksimum mati atau penjara seumur hidup. -REUTERS