Xi, Trump bincang hubungan dua hala China-AS

FOTO AFP

BEIJING, 5 Februari – Presiden China, Xi Jinping pada Rabu menggesa hubungan Amerika Syarikat (AS)-China diperkukuh berlandaskan prinsip saling menghormati, sambil memberi amaran kepada Presiden AS, Donald Trump supaya berhati-hati dalam penjualan senjata kepada Taiwan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Xi menyeru hubungan China-AS diperkukuh berasaskan saling menghormati dan kerjasama menang-menang.
  • Xi menasihati Trump supaya berhati-hati dalam penjualan senjata Amerika kepada Taiwan.
  • Perbualan merangkumi perdagangan, Taiwan, konflik Rusia-Ukraine, Iran dan lawatan Trump ke China.
  • China menegaskan Taiwan sebagai isu paling penting dan tidak menolak penggunaan kekerasan untuk penyatuan.

Menurut media kerajaan China, Xi menyampaikan peringatan itu dalam perbualan telefon dengan Trump, selain menyuarakan harapan agar isu dua hala termasuk perdagangan dapat diselesaikan secara harmoni antara dua ekonomi terbesar dunia.

“Dengan menangani isu satu demi satu dan membina kepercayaan bersama secara berterusan, kita boleh membentuk cara yang betul untuk kedua-dua negara hidup bersama,” kata Xi seperti dipetik penyiar negara, CCTV.

Xi turut mencadangkan 2026 dijadikan tahun ke arah hubungan China-AS yang berteraskan saling menghormati, kewujudan bersama secara aman dan kerjasama menang-menang.

Sementara itu, Trump menyifatkan perbualan tersebut sebagai “cemerlang” dan berkata hubungan AS-China serta hubungan peribadinya dengan Xi berada pada tahap yang sangat baik.

Menurut Trump, perbincangan turut menyentuh isu perdagangan, Taiwan, konflik Rusia-Ukraine, Iran serta rancangan lawatannya ke China.

Bagaimanapun, isu Taiwan kekal sensitif apabila Xi menegaskan penjualan senjata AS kepada pulau yang ditadbir secara demokratik itu perlu ditangani dengan penuh berhati-hati.

China menegaskan isu Taiwan adalah perkara paling penting dalam hubungan Beijing-Washington.

China menuntut Taiwan sebagai sebahagian wilayahnya meskipun tidak pernah mentadbir pulau berpenduduk 23 juta orang itu, dan tidak menolak penggunaan kekerasan untuk penyatuan semula.

AS pula tidak mengiktiraf Taiwan secara rasmi, namun merupakan penyokong ketenteraan utamanya, termasuk meluluskan penjualan senjata bernilai AS$11 bilion pada Disember lalu. – AFP