
GAZA, 9 Mac – Mengimbangi bakul kecil kek yang masih panas di atas kepala, Areej al-Ahmad menyusuri lorong-lorong sempit kem perpindahan di Khan Younis sambil memanggil beberapa pelanggan yang melintas di celahan khemah dan timbunan runtuhan.
- Wanita Gaza terpaksa menjadi penanggung keluarga selepas kehilangan suami, menguruskan anak dan rumah sendirian.
- Mereka mencari nafkah melalui jualan kecil walau pendapatan terhad dan perjalanan jauh.
- Trauma kehilangan keluarga dan kesedihan mendalam menjejaskan emosi serta kehidupan harian.
- Krisis kemanusiaan meluas: puluhan ribu korban, ribuan balu, kekurangan air, elektrik dan perkhidmatan perubatan.
Hampir dua tahun lepas, ibu berusia 37 tahun itu kehilangan suaminya dalam serangan udara Israel yang menimpa rumah jiran. Letupan itu turut mencederakan kakinya dan derita kesakitan itu masih terasa hingga kini. Sejak itu, beliau membesarkan tiga anak mereka sendirian.
Namun setiap hari, beliau gigih menapak jauh melalui puing-puing kawasan kejiranan untuk menjual kek, satu-satunya sumber pendapatan keluarga itu.
“Kematian suami saya memaksa saya bertanggungjawab atas segala-galanya dalam kehidupan anak-anak saya,” kata al-Ahmad, lapor Xinhua.
“Dalam sekelip mata, saya menjadi ibu dan bapa kepada mereka. Ada harinya saya berjalan lebih 15 kilometer. Kesakitan tidak pernah meninggalkan saya, tetapi anak-anak saya bergantung pada saya. Saya tidak boleh berhenti.”
Di seluruh Gaza, beribu-ribu wanita mengalami nasib yang sama sejak perang bermula, memainkan peranan sebagai penanggung keluarga utama selepas kehilangan suami, rumah dan mata pencarian.
Ketika dunia menyambut Hari Wanita Antarabangsa, kisah mereka mengetengahkan beban ditanggung oleh ramai wanita dalam krisis kemanusiaan yang semakin meruncing di wilayah itu.
Hari Al-Ahmad bermula sebelum matahari terbit. Di dalam khemahnya, dia mengumpulkan kayu api dan menyediakan doh untuk membakar kek untuk dijual. Setelah beberapa jam berjalan mengharungi kawasan kejiranan yang punah, dia pulang ke rumah untuk mengambil air, memasak dan menjaga anak-anaknya.
“Kami bangun untuk mengisi bekas air, mengumpul kayu api dan memasak,” katanya. “Kemudian saya keluar menjual kek dan pulang ke rumah untuk menyediakan makanan untuk anak-anak saya.”
Kehidupan, pernah suatu ketika dahulu berbeza, katanya.
“Sebelum perang, saya hanya perlu berada di rumah menjaga keluarga dan menyiapkan makanan untuk suami dan anak-anak,” katanya. “Sekarang saya perlu melakukan semuanya sendirian.”
Di kem berdekatan, Om Mohammed al-Agha, 42, juga telah mengambil peranan yang tidak pernah dia jangkakan. Dia menyusun kantung gula-gula dan kerepek kentang di atas meja kayu kecil, dengan harapan dapat menarik minat kanak-kanak yang melalui kem itu.
“Selepas suami saya meninggal dunia 15 bulan lalu, saya terpaksa memastikan keluarga saya terus hidup,” katanya. “Saya tidak pernah bekerja sebelum ini, tetapi sekarang saya tiada pilihan.”
Suaminya, seorang buruh harian, merupakan pencari nafkah tunggal keluarga. Selepas kematiannya, rumah mereka musnah dan keluarga itu berpindah ke khemah.
“Saya memutuskan untuk menjual gula-gula dan kerepek untuk meneruskan kehidupan,” katanya.
Keuntungan kecil membolehkan dia membeli roti dan keperluan lain. Namun beban emosi tetap menghimpit.
“Kadang-kadang anak-anak bertanya bila ayah mereka akan pulang,” katanya perlahan. “Saya tidak tahu macam mana nak jawab.”
Kesulitan yang dialami al-Ahmad, al-Agha dan ribuan wanita lain mencerminkan skala krisis kemanusiaan di Gaza.
Pegawai perubatan Palestin memaklumkan perang yang bermula pada 7 Okt 2023, telah membunuh lebih 72,000 orang, mencederakan puluhan ribu dan menyebabkan kemusnahan rumah, sekolah, hospital dan perniagaan.
Menurut Kementerian Hal Ehwal Wanita Palestin, lebih 12,500 wanita, termasuk lebih 9,000 ibu, terbunuh sejak serangan Israel bermula.
Lebih 21,000 wanita menjadi balu manakala kematian puluhan ribu lelaki menyebabkan banyak keluarga tanpa pencari nafkah utama.
Kementerian Buruh Palestin menganggarkan kira-kira 57,000 wanita muncul sebagai penanggung utama keluarga mereka sejak perang bermula.
Bagi sesetengah wanita, kerugian di luar dimensi kesusahan ekonomi.
Di Gaza City, Abeer al-Assi, 28, kehilangan kedua-dua anaknya dalam serangan udara. Beliau kini menghabiskan berjam-jam menunggu di luar organisasi amal untuk mendapatkan bantuan makanan.
“Anak-anak saya terkorban semasa serangan udara Israel,” katanya. “Saya tidak dapat menyelamatkan mereka, dan saya masih ingat jeritan mereka.”
Rumahnya, katanya, kini terasa kosong. “Setiap hari saya bangun dan terkenang apa yang berlaku,” katanya.
“Ketawa yang pernah memenuhi rumah kami kini lenyap.”
Al-Assi berkata Hari Wanita Antarabangsa harus mengingatkan dunia tentang penderitaan wanita yang hidup menempuh konflik.
“Setiap wanita di sini menyimpan kisah yang pedih,” katanya. “Ada yang kematian suami, yang lain anak lelaki, dan ada yang kehilangan rumah serta harta benda.”
Di Deir al-Balah di tengah Gaza, Suheir Harara, 35, ditimpa kehilangan berbeza.
Serangan udara meranapkan rumah keluarganya, mengorbankan lebih 35 saudara-mara dalam satu malam.
“Malam itu mengubah segala-galanya,” katanya sambil duduk berhampiran kubur ahli keluarga. “Saya kehilangan ibu bapa dan adik-beradik saya, dan saya masih dengar pekikan mereka sebelum saya tidur.”
Di sebalik kesedihan, kelangsungan hidup sehari-hari terus menjadi cabaran untuk wanita di seluruh Gaza. Air bersih terhad, elektrik tidak menentu dan perkhidmatan perubatan kewalahan.
Menurut kumpulan bantuan tempatan, banyak keluarga biasanya menunggu berjam-jam lamanya untuk mendapatkan air dan makanan dengan wanita kerap membawa bekas berat dalam jarak yang jauh.
Harara berkata penderitaan wanita Gaza sangat kurang mendapat perhatian antarabangsa.
“Kami memerlukan lebih banyak sokongan,” katanya. “Wanita di sini telah kehilangan keluarga mereka, rumah mereka, dan kehidupan mereka dahulu.”- BERNAMA