
ISTANBUL, 15 Februari– UpScrolled, aplikasi yang dibangunkan oleh Issam Hijazi, jurutera perisian warga Australia berketurunan Palestin sebagai alternatif kepada TikTok, kembali disenaraikan di gedung aplikasi Google Play Store pada Ahad selepas digantung sementara waktu, lapor Anadolu Ajansi.
- UpScrolled disenaraikan semula di Google Play selepas penggantungan sementara.
- Pasukan UpScrolled bekerjasama rapat dengan Google Play untuk menyelesaikan isu tersebut.
- Platform alami lonjakan pengguna luar biasa, menyebabkan masalah pelayan sementara.
- Populariti meningkat pesat selepas dakwaan tentang penapisan kandungan di platform lain.
“Ia rasmi… Kami kembali bersama! Google Play senaraikan semula,” menurut platform itu menerusi akaun rasminya di platform X.
“Nampaknya Google Play menghentikan sementara hubungan kita pada Hari Valentine ini. Aplikasi kami buat masa ini tidak tersedia untuk dimuat turun di Play Store,” tulis platform itu pada Sabtu.
“Kami memandang serius perkara ini dan sedang bekerjasama rapat dengan pasukan Google Play untuk menyelesaikannya.”
Beberapa jam kemudian, platform itu memaklumkan bahawa mereka “kini mengalami masalah pelayan berikutan lonjakan luar biasa pengguna baharu”, yang kemudiannya berjaya diatasi.
Aplikasi itu mendapat perhatian meluas secara dalam talian selepas jumlah penggunanya meningkat daripada 150,000 kepada jutaan dalam tempoh hanya seminggu.
Dilancarkan pada Jun 2025, peningkatan pesat itu berlaku ketika kritikan terhadap platform media sosial arus perdana semakin memuncak. Sesetengah pengguna TikTok mendakwa kandungan pro-Palestin dan anti-Israel dikenakan “shadow banning” di platform itu.- BERNAMA