UNRWA mahu siastan pembunuhan hampir 400 kakitangan semasa perang Gaza

Ketua Pesuruhjaya Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin (UNRWA), Philippe Lazzarini/REUTERS

GENEVA, 31 Mac -Ketua Pesuruhjaya Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin (UNRWA), Philippe Lazzarini mahu siasatan terhadap pembunuhan hampir 400 kakitangan UNRWA ketika perang di Gaza.

RINGKASAN BERITA AI
  • Desakan menubuhkan panel pakar peringkat tinggi untuk menyiasat kematian dan serangan terhadap kakitangan UNRWA.
  • Siasatan perlu merangkumi pegawai PBB lain yang turut terkorban, bukan hanya kakitangan UNRWA.
  • Penilaian diperlukan terhadap kemusnahan besar premis UNRWA serta ancaman kemerosotan akibat serangan dan pemotongan dana.
  • Isu dibawa kepada Setiausaha Agung PBB dan negara anggota, tetapi masa berlalu menjadikan siasatan lebih sukar.

Beliau mahu panel pakar peringkat tinggi ditubuhkan bagi menyiasat pembunuhan kakitangan agensi itu.

Dalam sidang media pada hari terakhir beliau menjawat jawatan sebagai Pesuruhjaya Agung UNRWA, Lazzarini, warganegara Switzerland berusia 62 tahun, mengutuk kematian lebih 390 kakitangan sejak permulaan perang Israel terhadap Gaza pada Oktober 2023.

“Ramai lagi mengalami kecederaan serius yang mengubah hidup atau ditahan secara sewenang-wenangnya dan diseksa,”katanya.

Beliau menekankan bahawa siasatan perlu bukan sahaja terhadap kematian kakitangan UNRWA, tetapi juga pegawai PBB lain yang terkorban, dengan berkata: “Terdapat rakan sekerja PBB lain yang turut terbunuh.”

“Kita juga perlu meneliti kemusnahan besar-besaran premis UNRWA di Gaza,” tambahnya.

Lazzarini turut memberi amaran bahawa serangan Israel terhadap agensi itu, disertai dengan pemotongan dana yang besar, telah meletakkan UNRWA dalam risiko “kemerosotan”.

Beliau berkata isu itu telah dibangkitkan dengan Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres, dan negara anggota PBB di New York.

Beliau mengakui bahawa masa yang sesuai untuk memulakan siasatan sukar ditentukan kerana konteks yang sangat berpolarisasi.

“Semakin lama masa berlalu, semakin sukar tugasan panel akan dijalankan pada masa hadapan,” katanya. -AFP