‘U-turn’ penutupan loji arang batu cetus keraguan peralihan tenaga

FOTO AFP

CIREBON, 18 Februari – Keputusan kerajaan Indonesia menarik balik pelan penutupan awal loji janakuasa arang batu Cirebon-1 menimbulkan keraguan terhadap komitmen peralihan tenaga negara itu, sekali gus mengecewakan penduduk setempat yang mendakwa terjejas akibat pencemaran.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerajaan batalkan penutupan awal loji arang batu Cirebon-1, menggugat keyakinan terhadap komitmen peralihan tenaga.
  • Keputusan disokong alasan teknologi supercritical dan jangka hayat loji, sementara loji lama akan dipertimbangkan ditutup.
  • Penduduk dakwa pencemaran menjejaskan hasil laut dan kesihatan; kajian kaitkan loji dengan kematian tahunan.
  • Keputusan itu mencerminkan kekangan pembiayaan dan cabaran mencapai sasaran peralihan tenaga bersih Indonesia.

Loji berkapasiti 660 megawatt (MW) yang mula beroperasi pada 2012 itu sebelum ini dipilih untuk ditamatkan operasi lebih awal menjelang 2035 di bawah inisiatif Perkongsian Peralihan Tenaga Adil (JETP) bernilai AS$20 bilion, bertujuan membantu Indonesia mengurangkan kebergantungan kepada arang batu.

Bagaimanapun, kerajaan pada Disember lalu memutuskan untuk mengekalkan operasi loji berkenaan dengan alasan jangka hayatnya masih panjang serta menggunakan teknologi “supercritical” yang lebih cekap berbanding loji lama. Sebaliknya, loji yang lebih tua dan kurang efisien akan dipertimbangkan untuk ditutup.

Penduduk sekitar mendakwa pelepasan air panas dan sisa loji menjejaskan hasil laut serta kesihatan komuniti, termasuk peningkatan masalah pernafasan. Kajian Pusat Penyelidikan Tenaga dan Udara Bersih (CREA) mengaitkan pelepasan pencemar udara loji itu dengan lebih 400 kematian setiap tahun, namun pihak konsortium Cirebon Power menegaskan operasi mematuhi piawaian kerajaan.

Penganalisis berpandangan keputusan itu memberi isyarat bercampur terhadap komitmen Jakarta, selain mencerminkan kekangan pembiayaan untuk membangunkan sumber tenaga alternatif. Setakat ini, hanya sebahagian kecil dana JETP berjaya disalurkan.

Arang batu kini menjana hampir 70 peratus bekalan elektrik Indonesia, dengan syarikat utiliti negara, PLN merancang penambahan kapasiti baharu arang batu dan gas menjelang 2034, sekali gus mencabar sasaran peralihan tenaga bersih negara itu.-AFP