
ISLAMABAD, 12 April – Iran mendakwa tuntutan tidak munasabah oleh Amerika Syarikat menjadi punca kegagalan rundingan di Islamabad bagi menamatkan konflik di Asia Barat.
- Iran mendakwa tuntutan tidak munasabah Amerika Syarikat punca kegagalan rundingan di Islamabad.
- IRIB melaporkan delegasi Iran berunding secara intensif selama 21 jam untuk mempertahankan kepentingan nasional.
- Pelbagai inisiatif Iran dikemukakan, namun perbezaan ketara antara pihak menghalang sebarang persetujuan.
- Naib Presiden AS JD Vance mengesahkan rundingan gagal walaupun Washington mengemukakan tawaran terakhirnya kepada Tehran.
Menurut penyiar rasmi negara itu, Islamic Republic of Iran Broadcasting, delegasi Iran telah berunding secara berterusan selama 21 jam demi mempertahankan kepentingan nasional.
“Delegasi Iran berunding secara intensif bagi melindungi kepentingan rakyat, namun tuntutan tidak munasabah pihak Amerika menghalang kemajuan rundingan,” menurut kenyataan yang disiarkan di Telegram.
Tambah IRIB, walaupun pelbagai inisiatif dikemukakan oleh pihak Iran sepanjang rundingan, perbezaan ketara antara kedua-dua pihak akhirnya menyebabkan perbincangan tersebut berakhir tanpa sebarang persetujuan.
Kenyataan itu hadir susulan pengumuman Naib Presiden Amerika Syarikat, JD Vance sebelum ini yang mengesahkan rundingan gagal mencapai kata sepakat, meskipun Washington telah mengemukakan apa yang disifatkan sebagai “tawaran terakhir dan terbaik” kepada Tehran.-AFP