
MOSCOW, 21 Februari – Tujuh mayat ditemukan di Tasik Baikal selepas sebuah bas pelancong yang membawa lapan pelancong warga China terjunam ke dalam tasik itu apabila lapisan ais pecah ketika kenderaan berkenaan melintasi permukaan beku berkenaan, Jumaat lalu.
- Tujuh mayat ditemui selepas bas pelancong terjunam ke Tasik Baikal apabila lapisan ais pecah.
- Seorang penumpang warga China terselamat dan sedang menerima rawatan perubatan.
- Pendakwa raya wilayah Irkutsk membuka siasatan jenayah ke atas insiden itu.
- Operasi menyelam dirancang dan penyiasatan lokasi menggunakan kamera bawah air dijalankan.
Kementerian Kecemasan Rusia dalam satu kenyataan memaklumkan, seorang daripada pelancong terbabit berjaya menyelamatkan diri selepas kejadian itu.
Gabenor wilayah Irkutsk, Igor Kobzev, menerusi aplikasi Telegram berkata mangsa yang terselamat sedang menerima rawatan, manakala pejabat pendakwa raya wilayah itu telah membuka kertas siasatan jenayah berhubung insiden berkenaan.
Menurut kementerian itu, pasukan penyelamat melakukan pemeriksaan di lokasi kejadian menggunakan kamera bawah air dan operasi menyelam dirancang bagi mengeluarkan mangsa.
“Kedalaman air di lokasi kemalangan adalah 18 meter,” menurut kenyataan tersebut.
Tasik Baikal yang terletak di utara Mongolia merupakan tasik air tawar terdalam di dunia dan menjadi destinasi popular pelancong, terutama pada musim sejuk apabila permukaannya membeku.
Jumlah pelancong China ke Rusia meningkat sejak beberapa tahun kebelakangan ini susulan hubungan dua hala yang semakin erat serta pelaksanaan rejim perjalanan bebas visa antara kedua-dua negara.-REUTERS