Trump umum tarif 25% terhadap negara berurus niaga dengan Iran

Bangunan White House/REUTERS

WASHINGTON, 13 Januari – Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, mengumumkan tarif 25 peratus terhadap mana-mana negara yang menjalankan perniagaan dengan Iran.

RINGKASAN BERITA AI
  • Trump mengumumkan tarif 25% terhadap negara yang berdagang dengan Iran, berkuat kuasa serta-merta.
  • Tarif menyasarkan rakan dagang utama Iran seperti China, Turki, UAE dan Iraq.
  • Langkah ini mengiringi tekanan ekonomi dan ancaman penggunaan kekuatan tentera jika perlu.

Tindakan tersebut merupakan langkah terbaru dalam tekanan ekonomi yang dilihat sebagai eskalasi besar Washington terhadap Republik Islam itu.

Trump menyatakan melalui media sosial Truth Social bahawa arahan itu “berkuat kuasa serta-merta” dan “muktamad serta tidak boleh dipertikaikan.”

Trump turut berkata tarif baru itu juga akan menjejaskan rakan dagang utama Iran, termasuk China, Turki, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Iraq, yang menjalankan urus niaga dengan Amerika Syarikat.

Beliau juga beberapa kali mengugut bahawa pilihan ketenteraan terhadap Iran sedang dipertimbangkan sebagai salah satu pilihan.

Beberapa penunjuk perasaan membawa sepanduk menyokong campur tangan Amerika Syarikat / REUTERS

Setiausaha akhbar Rumah Putih, Karoline Leavitt, berkata: “Presiden Trump sentiasa menekankan diplomasi sebagai pilihan pertama, tetapi beliau tidak gentar menggunakan kekuatan tentera AS jika perlu.”

Langkah itu dilakukan ketika Iran digegarkan oleh protes besar-besaran selama lebih dua minggu, yang tercetus akibat isu ekonomi dan kini berkembang menjadi cabaran serius terhadap pemerintahan teokrasi yang telah berkuasa sejak revolusi Islam 1979.

Pihak berkuasa Iran menuduh campur tangan asing sebagai punca rusuhan dan mengadakan perhimpunan balas di seluruh negara.

Pertubuhan hak asasi manusia Iran Human Rights (IHR) yang berpangkalan di Norway menganggarkan 648 orang terkorban, termasuk sembilan kanak-kanak, dan sekitar 10,000 ditahan meskipun angka sebenar dipercayai jauh lebih tinggi. – REUTERS

 

 

Makan Sihat, Hidup Sihat: Bagaimana Ajinomoto (Malaysia) Berhad Membentuk Gaya Hidup Lebih Sihat di Malaysia

Artikel Tajaan