
WASHINGTON, 22 Februari – Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump,mengumumkan kenaikan duti import global kepada 15 peratus, hanya sehari selepas Mahkamah Agung Amerika Syarikat memutuskan sebahagian besar dasar tarifnya tidak sah di sisi undang-undang.
- Trump umum kenaikan tarif import global kepada 15 peratus sebagai tindak balas kepada keputusan Mahkamah Agung.
- Langkah itu dikatakan sementara untuk 150 hari menurut kenyataan White House.
- Pengecualian diberi kepada sektor tertentu seperti farmaseutikal dan barang di bawah perjanjian USMCA.
- Trump berjanji usaha mencari kaedah alternatif yang sah untuk meneruskan dasar tarif agresif.
Menerusi platform Truth Social, Trump menyifatkan keputusan mahkamah itu sebagai “luar biasa anti-Amerika” dan menegaskan pentadbirannya akan menaikkan kadar tarif ke tahap maksimum yang “dibenarkan dan telah diuji dari segi perundangan”.
Sebelum ini, beliau mengumumkan duti 10 peratus sejurus selepas keputusan mahkamah dikeluarkan pada Jumaat.
Namun kadar itu kini dinaikkan kepada 15 peratus.
Mahkamah Agung dalam keputusan majoriti 6-3 memutuskan bahawa undang-undang tahun 1977 yang digunakan Trump untuk mengenakan tarif secara mengejut ke atas negara tertentu “tidak memberi kuasa kepada Presiden untuk mengenakan tarif”.
Langkah terbaharu itu dilihat sebagai usaha untuk mengelak kesan keputusan mahkamah, sekali gus mempertahankan dasar perdagangan agresif yang menjadi tunjang pentadbiran beliau sepanjang tahun lalu.
Menurut fakta lembaran White House, tarif baharu itu hanya dibenarkan secara sementara selama 150 hari.
Pengecualian kekal diberikan kepada sektor yang sedang disiasat secara berasingan termasuk farmaseutikal, serta barangan yang memasuki AS di bawah perjanjian perdagangan Amerika Syarikat-Mexico-Kanada.
Trump turut memaklumkan bahawa dalam beberapa bulan akan datang, pentadbirannya akan mencari kaedah alternatif untuk mengenakan tarif yang “dibenarkan secara sah”.
Sepanjang tahun lalu, Trump memperkenalkan pelbagai kadar tarif terhadap rakan dagang utama Amerika Syarikat sebagai tekanan ekonomi, termasuk terhadap sekutu dan pesaing.
Beliau turut meluahkan rasa kecewa terhadap keputusan mahkamah dan mendakwa institusi berkenaan dipengaruhi kepentingan asing.
“Saya malu dengan beberapa anggota mahkamah kerana tidak mempunyai keberanian untuk melakukan perkara yang betul untuk negara kita,” katanya kepada pemberita.