Trump lawat China tiga hari sehingga 2 April

Gambar fail: Donald Trump dan Presiden China Xi Jinping/Foto REUTERS

WASHINGTON, 21 Februari – Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump dijadualkan mengunjungi China dari 31 Mac hingga 2 April bagi pertemuan dengan Presiden China Xi Jinping, menurut seorang pegawai Rumah Putih pada Jumaat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Trump akan mengunjungi China dari 31 Mac hingga 2 April untuk pertemuan dengan Presiden Xi Jinping.
  • Agenda utama termasuk perdagangan, Taiwan dan isu global seperti nuklear Iran serta perang di Ukraine.
  • Lawatan ini diuji oleh ketegangan mengenai penjualan senjata ke Taiwan dan hubungan diplomatik antarabangsa.

Menurut Kyodo News, ini akan menjadi lawatan pertama Trump ke China sejak kembali memegang jawatan pada Januari tahun lalu, dengan isu perdagangan, Taiwan dan hal ehwal global – daripada aspirasi nuklear Iran hingga perang berpanjangan Rusia di Ukraine – dijangka menjadi agenda utama.

Trump kali terakhir melawat China pada November 2017 semasa penggal pertamanya. Sejak bertemu Xi di Korea Selatan pada akhir Oktober, Trump berulang kali menyatakan beliau mempunyai hubungan baik dengan pemimpin China itu dan menantikan lawatan ke China pada musim bunga ini.

Sebagai balasan atas lawatannya ke Beijing sebagai tetamu negara, Trump berkata beliau akan menjemput Xi ke Amerika Syarikat pada akhir tahun ini.

Sebagai persiapan lawatan Trump ke Beijing, Setiausaha Negara Marco Rubio, mengadakan pertemuan dengan Menteri Luar China Wang Yi, seminggu lalu di Jerman di luar persidangan keselamatan tahunan.

Dalam pertemuan sebelum ini, Trump dan Xi bersetuju mengenai gencatan perdagangan satu tahun dalam perang perdagangan antara dua ekonomi terbesar dunia.

Lawatan Trump yang akan datang berlangsung selepas Mahkamah Agung AS pada Jumaat menolak tarif menyeluruhnya yang dikenakan terhadap China dan hampir semua rakan dagang AS yang lain.

Selain isu perdagangan, Taiwan, yang dituntut China sebagai wilayahnya, dijangka menjadi topik sensitif ketika kedua-dua presiden bertemu.

Semasa panggilan telefon dengan Trump awal bulan ini, Xi menekankan bahawa Taiwan merupakan “isu paling penting” dalam hubungan China-AS, menurut kerajaan China.

China memberi reaksi tegas terhadap pengumuman pentadbiran Trump pada Disember mengenai pakej besar penjualan senjata ke Taiwan. Beijing tidak menolak kemungkinan menggunakan kekerasan untuk menguasai pulau yang menguruskan hal sendiri itu.

Apabila ditanya mengenai kemungkinan menghantar lebih banyak senjata ke Taiwan awal minggu ini, Trump, yang dipercayai berada di bawah tekanan China untuk tidak berbuat demikian, berkata, “Kami akan membuat keputusan tidak lama lagi.”

Kemahiran diplomatik Trump juga akan diuji apabila beliau menerima lawatan Perdana Menteri Jepun, Sanae Takaichi, di Rumah Putih pada 19 Mac, susulan kritikan China terhadap kenyataannya mengenai potensi krisis Selat Taiwan. – BERNAMA-ANADOLU