Trump jemput India sertai Lembaga Keamanan, selesai konflik global

 Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump/ AFP

WASHINGTON, 19 Januari – Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump telah mengundang India untuk menyertai inisiatif terbaharunya, Lembaga Keamanan (Board of Peace) bagi membantu menyelesaikan konflik global, menurut kenyataan White House pada Ahad.

RINGKASAN BERITA AI
  • Trump mengundang India sertai Lembaga Keamanan untuk bantu selesaikan konflik global, fokus awal pada situasi Gaza.
  • Belum pasti sama ada India akan menerima jemputan; Kementerian Luar India belum mengulas.
  • Jemputan dibuat ketika hubungan New Delhi-Washington tegang susulan rundingan perdagangan gagal dan tarif tinggi.
  • Trump juga menjemput kira-kira 60 negara lain, termasuk Pakistan yang menyatakan kesediaan untuk sokong usaha keamanan Gaza.

Kenyataan itu turut dikongsi Duta Washington ke New Delhi, Sergio Gor, menerusi hantaran di platform X.

Bagaimanapun, setakat ini, belum pasti sama ada India akan menyertai inisiatif berkenaan.

Inisiatif itu pada peringkat awal akan memberi tumpuan kepada situasi di Gaza.

Kementerian Luar India belum memberikan sebarang maklum balas terhadap permintaan untuk mengulas perkara itu.

Jemputan dibuat ketika hubungan antara New Delhi dan Washington tegang, susulan kegagalan rundingan perdagangan yang menyaksikan eksport India ke Amerika Syarikat dikenakan tarif sehingga 50 peratus, antara kadar tertinggi di dunia.

Trump turut mengemukakan jemputan kepada kira-kira 60 negara lain, termasuk Pakistan.

Kerajaan Pakistan sebelum itu menyatakan kesediaan untuk menyertai usaha antarabangsa bagi menjayakan keamanan dan keselamatan di wilayah Palestin, khususnya Gaza.-REUTERS