
DAVOS, 22 Januari – Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, mendakwa Presiden Rusia, Vladimir Putin, telah bersetuju menyertai inisiatif kelolaan Trump dikenali sebagai “Lembaga Keamanan” meskipun Kremlin sebelum ini memaklumkan masih meneliti jemputan berkenaan.
- Trump mendakwa Putin setuju menyertai inisiatif "Lembaga Keamanan" meskipun Kremlin masih meneliti jemputan.
- Trump berkata ramai pemimpin dunia telah menerima jemputan menyertai lembaga yang peranannya belum diperincikan.
- Putin arah Kementerian Luar Rusia mengkaji dokumen dan berbincang dengan rakan strategik sebelum membuat keputusan.
- Permintaan sumbangan AS$1 bilion untuk keahlian tetap dan peranan lembaga menimbulkan kebimbangan antarabangsa.
Trump berkata demikian kepada wartawan di Davos, Switzerland pada Rabu, sambil menyatakan ramai pemimpin dunia telah menerima jemputan menyertai kumpulan yang masih belum diperincikan peranannya itu.
“Dia telah dijemput dan sudah menerima. Ramai telah bersetuju,” kata Trump.
Mengulas kritikan bahawa beliau menghulurkan jemputan kepada tokoh bukan demokratik, Trump berkata sebahagian individu itu bersifat kontroversi.
“Jika saya hanya letakkan bayi dalam lembaga ini, ia tidak akan memberi makna yang besar,” katanya.
Sementara itu, di Moscow, Putin memaklumkan beliau telah mengarahkan Kementerian Luar Rusia untuk meneliti cadangan tersebut sebelum sebarang keputusan dibuat.
“Kementerian Luar Rusia ditugaskan mengkaji dokumen yang telah dihantar kepada kami dan berbincang dengan rakan strategik.
“Hanya selepas itu kami boleh memberikan jawapan terhadap jemputan ini,” katanya dalam mesyuarat kabinet yang disiarkan di televisyen.
Putin turut menyatakan Rusia berupaya membayar AS$1 bilion yang diminta bagi mendapatkan kerusi tetap dalam lembaga itu, penggunaan aset Rusia yang dibekukan di bawah pentadbiran Amerika Syarikat sebelum ini.
Menurutnya, dana berkenaan juga boleh digunakan untuk membina semula wilayah yang terjejas akibat konflik, selepas perjanjian damai antara Rusia dan Ukraine dimuktamadkan.
Sebelum ini, jemputan menyertai Lembaga Keamanan telah dihantar kepada puluhan pemimpin dunia, bersama permintaan sumbangan AS$1 bilion bagi keahlian tetap.
Walaupun pada asalnya inisiatif itu bertujuan memantau usaha pembinaan semula Gaza, piagam lembaga berkenaan dilihat tidak mengehadkan peranannya kepada wilayah itu sahaja dan berpotensi mencabar peranan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) , sekali gus menimbulkan kebimbangan beberapa sekutu Amerika Syarikat termasuk Perancis.