
NUSEIRAT, 9 Mac – Penduduk Palestin di Nuseirat, Gaza, berkabung pada Isnin selepas beberapa individu terkorban akibat tembakan tentera Israel, manakala sebahagian lain meninjau kerosakan khemah yang menempatkan keluarga pelarian di kawasan itu.
- Serangan kereta kebal Israel pada tengah malam membunuh sekurang-kurangnya tiga orang, termasuk dua wanita, seorang wartawan dan seorang kanak-kanak perempuan.
- Sekurang-kurangnya 10 individu cedera dalam serangan itu, sebahagiannya kanak-kanak.
- Peluru kereta kebal mengenai kawasan penempatan khemah menempatkan keluarga pelarian di bahagian barat Nuseirat.
- Seorang pegawai keselamatan Israel mendakwa tentera tidak mengetahui kematian wartawan dan kanak-kanak; rakaman Reuters tunjukkan kerosakan dan kecederaan.
Menurut pegawai kesihatan di Hospital Al-Awda di kem Nuseirat, serangan tembakan kereta kebal Israel sejurus selepas tengah malam di tengah Gaza mengorbankan sekurang-kurangnya tiga orang, termasuk dua wanita, salah seorang daripadanya wartawan tempatan serta seorang kanak-kanak perempuan.
Serangan itu turut menyebabkan sekurang-kurangnya 10 individu lain cedera, sebahagiannya kanak-kanak.
Petugas perubatan memaklumkan peluru kereta kebal berkenaan mengenai kawasan penempatan khemah yang menempatkan keluarga yang dipindahkan di bahagian barat Nuseirat.
Perang yang berlarutan selama dua tahun telah memusnahkan sebahagian besar wilayah Gaza serta menyebabkan majoriti daripada lebih dua juta penduduknya kehilangan tempat tinggal.
Pada Isnin, seorang pegawai keselamatan Israel kononnya mendakwa tentera tidak mengetahui sebarang insiden membabitkan kematian seorang kanak-kanak dan wartawan akibat serangan kereta kebal Israel.
Rakaman Reuters menunjukkan penduduk Palestin memeriksa kerosakan khemah perlindungan mereka, selain menunjukkan selimut yang berlumuran darah. Beberapa wanita juga dilihat menangis di sisi jenazah yang dibalut kain putih.
Seorang penduduk, Nisreen Abu Shalouf, berkata mereka sedang berada di dalam khemah sebelum terlihat kilatan api merah berulang kali.
“Kami sedang duduk di dalam khemah, tiba-tiba kami nampak sesuatu seperti api merah menyambar sekali, dua kali dan tiga kali. Kami terus berlari tanpa tahu ke mana hendak pergi,” katanya.
Serangan itu turut mengorbankan menantunya, manakala beberapa anaknya yang lain mengalami kecederaan.-REUTERS