TEPCO hidupkan semula reaktor nuklear pertama sejak bencana Fukushima

Pemandangan luar kompleks kuasa nuklear Kashiwazaki-Kariwa / REUTERS

TOKYO, 21 Januari -Tokyo Electric Power Company (TEPCO) menghidupkan semula sebuah reaktor di loji nuklear Kashiwazaki-Kariwa, hari ini, buat kali pertama sejak bencana nuklear Fukushima pada 2011.

RINGKASAN BERITA AI
  • Reaktor No. 6 di Kashiwazaki-Kariwa dihidupkan semula selepas pemeriksaan keselamatan, menandakan pengaktifan nuklear berterusan di Jepun.
  • Pengaktifan tertangguh sehari akibat penggera rosak, tetapi peralatan kini berfungsi seperti biasa sebelum sambungan ke grid.
  • Kajian komersial dijadualkan pada akhir Februari, menyumbang kepada bekalan elektrik lebih besar untuk kawasan Tokyo.

TEPCO memaklumkan, reaktor No. 6 berkapasiti 1.36 gigawatt dijadual disambungkan ke grid selepas pukul 7 malam waktu tempatan, selepas selesai pemeriksaan keselamatan oleh pihak berkuasa.

Proses pengaktifan semula itu tertangguh sehari selepas satu penggera dikesan tidak berfungsi, namun TEPCO mengesahkan peralatan berkenaan kini beroperasi seperti biasa.

Reaktor tersebut dijangka mula beroperasi secara komersial menjelang akhir Februari, sekali gus meningkatkan bekalan elektrik ke Tokyo, wilayah paling padat penduduk di Jepun.

Loji Kashiwazaki-Kariwa mempunyai tujuh reaktor dan merupakan stesen jana kuasa nuklear terbesar dunia, dengan kapasiti maksimum 8.2 gigawatt.

Dengan pengaktifan semula ini, jumlah reaktor nuklear yang kembali beroperasi di Jepun meningkat kepada 15 daripada 33 reaktor yang masih boleh digunakan sejak penutupan menyeluruh susulan tragedi Fukushima.

Kerajaan Jepun sebelum ini menyatakan komitmen untuk menghidupkan semula tenaga nuklear, termasuk pembinaan reaktor generasi baharu dan reaktor modular kecil, bagi menjamin keselamatan tenaga negara. -REUTERS