
TEHRAN, 16 Mac – Tentera Iran memberi amaran kepada negara-negara di rantau Asia Barat supaya tidak bekerjasama dengan saluran televisyen berpangkalan di London, Iran International, dengan menyatakan sebarang infrastruktur media yang membantu saluran itu akan dimasukkan dalam senarai sasaran.
- Iran memberi amaran negara Asia Barat jangan bekerjasama dengan Iran International; infrastruktur yang membantu akan dimasukkan ke dalam senarai sasaran.
- Tehran menuduh rangkaian itu menyokong agenda Amerika Syarikat dan rejim Zionis, menggelarnya "Rangkaian Zionis Antarabangsa" dan menyebar naratif palsu.
- Pihak berkuasa menahan sekurang-kurangnya 18 individu dituduh menyalurkan gambar dan maklumat kepada saluran itu dalam konflik tegang dengan AS dan Israel.
Amaran tersebut dikeluarkan oleh perintah operasi Markas Pusat Khatam al-Anbiya menerusi satu kenyataan lewat Ahad.
Menurut kenyataan itu, rangkaian yang digelar sebagai “Rangkaian Zionis Antarabangsa” menggunakan kapasiti satelit serta infrastruktur media milik beberapa negara di rantau berkenaan bagi menimbulkan ketegangan dan menyebarkan naratif palsu.
Dakwa mereka, tindakan itu bertujuan membantu agenda Amerika Syarikat dan rejim Zionis, merujuk kepada Israel.
“Jika anda terus membantu rangkaian jahat dan bersifat syaitan ini. Mana-mana pihak yang bekerjasama dengannya akan dimasukkan ke dalam senarai sasaran Republik Islam Iran,” menurut kenyataan itu yang disiarkan di laman sesawang televisyen negara.
Iran sebelum ini telah mengklasifikasikan Iran International sebagai organisasi pengganas sejak 2022.
Dalam beberapa bulan kebelakangan ini, Tehran turut mendakwa saluran itu mempunyai kaitan dengan “rejim Zionis” serta memberi amaran bahawa sebarang kerjasama boleh dikenakan tindakan undang-undang.
Terdahulu, pada Ahad, pihak berkuasa Iran turut mengumumkan penahanan sekurang-kurangnya 18 individu yang dituduh menyalurkan gambar dan maklumat kepada saluran televisyen itu.
Iran kini berada dalam konflik dengan Amerika Syarikat dan Israel sejak 28 Februari lalu selepas serangan bersama kedua-dua negara itu mengorbankan pemimpin tertinggi Iran, Ali Khamenei.
Kejadian itu mencetuskan tindak balas ketenteraan Iran di beberapa kawasan di rantau tersebut. – AFP