Taufan Gezani: korban meningkat kepada 40 orang

Taufan Gezani melanda Pulau Madagascar mengorbankan 40 orang setakat ini / REUTERS

ANTANANARIVO, 14 Februari – Korban akibat Taufan Gezani yang melanda pulau Madagascar meningkat kepada 40 orang selepas tiga hari bencana berkenaan melanda pulau tersebut.

RINGKASAN BERITA AI
  • Korban meningkat kepada 40 orang; 427 cedera dan enam dilaporkan hilang.
  • 273,417 orang terjejas akibat taufan melanda pulau Madagascar.
  • Toamasina teruk rosak; sekitar 80 peratus bandar dilaporkan musnah.
  • China dan Perancis menawarkan bantuan, termasuk 100 juta yuan dan pasukan penyelamat.

Pejabat Kebangsaan bagi Pengurusan Risiko dan Bencana (BNRGC) melaporkan seramai 40 orang maut manakala 427 orang cedera.

Jelas BNRGC, enam orang dilaporkan masih hilang manakala 273,417 orang terjejas akibat taufan berkenaan.

Pengarah Program Makanan Dunia (WFP), Tania Goosens yang melawat bandar kedua terbesar pulau itu, Toamasina iaitu bandar kedua yang teruk terjejas akibat taufan berkenaan menyatakan bahawa “Skala kemusnahan sangat mengejutkan.”

“Pihak berkuasa melaporkan bahawa 80 peratus bandar telah rosak,” tambahnya.

“Bandar berkenaan hanya mempunyai kira-kira lima peratus bekalan elektrik dan tiada bekalan air,” katanya, sambil menambah pejabat WFP dan sebuah gudang mereka juga “musnah sepenuhnya”.

Foto-foto AFP menunjukkan skala kemusnahan dengan pokok-pokok tumbang dan kepingan logam berselerak di jalan raya, menghalang usaha pemulihan.

“Banyak kawasan masih sukar diakses oleh pekerja penyelamat,” kata seorang pekerja bantuan kepada AFP.

“Jambatan runtuh, jalan rosak. Keadaan benar-benar teruk”, ujarnya.

Sementara itu, China telah menawarkan bantuan sebanyak 100 juta yuan (kira-kira AS$14.5 juta), menurut pengumuman presiden Madagascar.

Pada Khamis, Perancis berkata pihaknya turut menghantar makanan dan pasukan penyelamat dari pulau La Reunion selepas pemimpin baru Madagascar, Kolonel Michael Randrianirina, menyeru “solidariti antarabangsa”. -AFP