Tarif elektrik, gas di Singapura dijangka meningkat pada suku kedua 2026

Gambar hiasan

SINGAPURA, 31 Mac – Tarif elektrik dan gas di Singapura bagi suku kedua (S2) 2026 dijangka meningkat susulan kenaikan harga bahan api di tengah-tengah konflik yang berlaku di Asia Barat, menurut Penguasa Pasaran Tenaga (EMA).

RINGKASAN BERITA AI
  • EMA: Tarif dikira berdasarkan purata kos bahan api Januari hingga pertengahan Mac; lonjakan gas asli selepas 28 Feb hanya memberi kesan sebahagian.
  • EMA amaran: gangguan pengeluaran di Asia Barat mungkin mengekalkan harga bahan api tinggi, menyebabkan kenaikan lebih ketara pada suku akan datang.
  • MoF: Lebih sejuta isi rumah HDB akan terima rebat U-Save dan S&CC pada April; jumlah rebat sehingga S$570 bagi FY2026.

EMA dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa tarif elektrik dan gas bandar yang dikawal selia bagi setiap suku tahun ditentukan berdasarkan purata kos bahan api dalam tempoh 2.5 bulan pertama pada suku sebelumnya.

“Memandangkan harga gas asli hanya mula melonjak selepas 28 Feb 2026, tarif elektrik dan gas bandar yang dikawal selia bagi S2 2026 hanya terkesan sebahagiannya oleh kenaikan harga bahan api berkenaan.

Oleh itu, tarif elektrik dan gas bandar bagi tempoh April hingga Jun adalah berdasarkan harga bahan api dari Januari hingga pertengahan Mac,” menurut kenyataan itu pada Selasa.

EMA turut memberi amaran bahawa peningkatan kos gas asli ekoran konflik di Asia Barat akan menyebabkan kenaikan harga elektrik dan gas bandar bagi semua pengguna di Singapura.

Ia berkata memandangkan gangguan meluas terhadap pengeluaran minyak dan gas asli di Asia Barat, harga bahan api dijangka kekal tinggi dalam tempoh terdekat.

“Sehubungan itu, kita berkemungkinan akan melihat peningkatan yang lebih ketara pada tarif elektrik dan gas bandar dalam suku-suku tahun berikutnya.

“Serupa juga bagi pengguna yang melanggan kontrak runcit elektrik, mereka dijangka turut mengalami kenaikan harga apabila memperbaharui kontrak masing-masing,” kata EMA.

Sementara itu, Kementerian Kewangan (MoF) dalam satu kenyataan pada Selasa memaklumkan lebih sejuta isi rumah rakyat Singapura yang tinggal di flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) bakal menerima rebat U-Save serta Caj Perkhidmatan dan Penyenggaraan (S&CC) pada April 2026 sebagai sebahagian daripada skim Baucar GST (GSTV) tetap.

Rebat pada April 2026 itu merupakan agihan suku tahunan pertama bagi tahun kewangan (FY) 2026 untuk membantu menampung perbelanjaan utiliti serta S&CC bagi isi rumah HDB berpendapatan rendah dan sederhana.

“Pada April 2026, isi rumah yang layak akan menerima rebat GSTV – U-Save bernilai sehingga S$190 (S$1=RM3.12), bergantung kepada jenis flat HDB mereka.

Seperti yang diumumkan dalam Belanjawan 2026, rebat tambahan U-Save juga akan diberikan pada April 2026 dan Julai 2026, sebagai tambahan kepada rebat biasa GSTV – U-Save, bagi membantu isi rumah HDB Singapura menangani kos utiliti,” menurut kementerian itu.

MoF turut menekankan bahawa secara keseluruhan, isi rumah HDB Singapura yang layak akan menerima sehingga S$570 dalam bentuk rebat U-Save bagi FY2026.

Dalam perkembangan berkaitan, penyedia perkhidmatan e-panggilan Grab mengumumkan pelaksanaan surcaj bahan api sementara sebanyak S$0.40 di Singapura bermula 7 April hingga 31 Mei ini susulan ketidaktentuan harga bahan api.

“Surcaj bahan api ini akan disenaraikan secara berasingan dalam resit penumpang selepas perjalanan, dan 100 peratus daripada surcaj ini akan terus disalurkan kepada rakan pemandu bagi membantu menampung kenaikan kos bahan api baru-baru ini,” kata Grab sebagaimana dilaporkan Channel News Asia. – BERNAMA