
WASHINGTON, 7 Mac – Amerika Syarikat (AS) meluluskan penjualan kecemasan sebanyak 12,000 rangka bom kepada Israel ketika konflik antara negara itu dengan Iran semakin memuncak, meskipun tanpa kelulusan kongres.
- Jualan rangka bom 1,000 paun (450 kg) dianggarkan bernilai AS$151.8 juta.
- Pakej jualan termasuk sokongan kejuruteraan, logistik dan teknikal daripada kerajaan serta kontraktor AS.
- Setiausaha Negara Marco Rubio guna kuasa pengecualian memintas Kongres; langkah itu dikritik ahli Kongres, termasuk Gregory Meeks.
Menurut kenyataan Biro Hal Ehwal Politik-Ketenteraan Jabatan Negara AS, jualan rangka bom seberat 1,000 paun (450 kilogram) itu dianggarkan bernilai AS$151.8 juta.
Selain bekalan munisi, pakej jualan itu turut merangkumi perkhidmatan sokongan kejuruteraan, logistik dan teknikal daripada kerajaan serta kontraktor AS.
Presiden AS, Donald Trump sebelum ini memaklumkan syarikat pertahanan utama negara itu bersetuju meningkatkan pengeluaran senjata canggih sehingga empat kali ganda susulan konflik yang semakin memuncak di Asia Barat.
Kebiasaannya, penjualan senjata AS memerlukan kelulusan Kongres. Bagaimanapun, Setiausaha Negara Marco Rubio menggunakan kuasa pengecualian bagi meluluskan jualan tersebut tanpa melalui proses kelulusan Kongres.
Jabatan Negara AS berkata keputusan itu dibuat kerana wujud situasi kecemasan yang memerlukan penjualan segera kepada Israel demi kepentingan keselamatan negara Amerika Syarikat.
Namun langkah itu menerima kritikan daripada beberapa ahli Kongres.
Ahli Jawatankuasa Hal Ehwal Luar Dewan Perwakilan, Gregory Meeks menyifatkan tindakan memintas semakan Kongres sebagai bercanggah dengan alasan pentadbiran AS berhubung konflik tersebut.
Menurutnya, penggunaan kuasa kecemasan untuk meluluskan jualan senjata menunjukkan pentadbiran Trump tidak bersedia sepenuhnya menghadapi konflik berkenaan. – AFP