Tamatkan perang Iran kunci kawal harga minyak – Merz

 Foto AFP

BERLIN, 25 Mac – Canselor Jerman Friedrich Merz berkata pada Rabu bahawa menamatkan konflik antara Amerika Syarikat (AS), Israel dan Iran adalah satu-satunya jalan penyelesaian sebenar terhadap lonjakan harga minyak.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerajaan tidak boleh menampung setiap kenaikan harga melalui cukai atau peruntukan belanjawan persekutuan.
  • Cara terbaik kawal harga ialah menamatkan perang di Iran; kerajaan berusaha sedaya upaya mencapai matlamat segera.
  • Merz menyelaraskan tindakan dengan EU, UK dan Norway, memujuk AS serta Israel ke arah penyelesaian diplomatik; penamatan memerlukan kesediaan Iran.

“Kita tidak boleh mengimbangi setiap kenaikan harga melalui langkah cukai atau peruntukan daripada belanjawan persekutuan,” kata Merz kepada ahli parlimen semasa sesi persidangan parlimen, lapor Anadolu Ajansi.

Cara terbaik untuk mengawal semula harga adalah dengan menamatkan perang di Iran. Kerajaan sedang melakukan segala yang termampu untuk mencapai matlamat ini secepat mungkin,” katanya.

Canselor itu menegaskan bahawa beliau telah berulang kali membangkitkan kebimbangan Berlin mengenai peperangan berkenaan serta risikonya terhadap ekonomi global dalam beberapa panggilan telefon baru-baru ini dengan Presiden AS, Donald Trump.

“Saya sedang menyelaraskan secara rapat dengan rakan sejawat di Kesatuan Eropah serta dengan United Kingdom, Norway, dan ramai lagi,” kata Merz. “Kami sedang cuba melakukan apa sahaja yang termampu untuk memujuk AS dan Israel supaya mencari penyelesaian diplomatik terhadap perang ini.”

Bagaimanapun, beliau mengakui bahawa penamatan permusuhan memerlukan kesediaan daripada semua pihak termasuk Iran, sesuatu yang menurutnya masih belum kelihatan buat masa ini.- BERNAMA