Taikun media Hong Kong, Jimmy Lai dihukum penjara 20 tahun

Foto REUTERS

HONG KONG, 9 Feb – Taikun media paling terkemuka di Hong Kong, Jimmy Lai, dijatuhkan hukuman penjara selama 20 tahun atas tuduhan berkaitan keselamatan negara.

RINGKASAN BERITA AI
  • Jimmy Lai dihukum penjara 20 tahun berkaitan kesalahan keselamatan negara.
  • Didapati bersalah atas konspirasi dengan kuasa asing dan penerbitan bahan hasutan.
  • Mahkamah anggap Lai sebagai dalang utama, menyebabkan hukuman ditingkatkan.
  • Lai menafikan tuduhan, mengaku sebagai tahanan politik; hukuman dicelah kecaman antarabangsa.

Mahkamah Hong Kong mendapati pengasas akhbar Apple Daily berusia 78 tahun itu bersalah atas dua tuduhan iaitu mewujudkan konspirasi pakatan dengan kuasa asing serta penerbitan bahan hasutan.

Keputusan itu menandakan berakhirnya perbicaraan keselamatan negara bagi kes berprofil tinggi yang mencetuskan kecaman antarabangsa.

“Selepas mempertimbangkan tindakan jenayah serius dan berat Lai, mahkamah berpuas hati bahawa jumlah hukuman untuk Lai dalam kes ini adalah penjara 20 tahun,” menurut dokumen ringkasan daripada hakim.

Hukuman 20 tahun ke atas Lai berada dalam “kategori” hukuman paling berat, iaitu antara 10 tahun hingga penjara seumur hidup, bagi kesalahan yang “bersifat serius”.

Mahkamah Hong Kong menyatakan hukuman Lai ditingkatkan memandangkan beliau merupakan “dalang” dan penggerak utama di sebalik konspirasi bersekongkol dengan pihak asing.

Lelaki berusia 78 tahun itu, seorang warganegara British, telah menafikan semua tuduhan terhadapnya, dengan mengatakan di mahkamah bahawa beliau adalah seorang “tahanan politik” yang berdepan penganiayaan dari Beijing.

Nasib Lai telah dikritik oleh pemimpin global, termasuk Presiden Amerika Syarikat Donald Trump dan Perdana Menteri Britain Keir Starmer. – AFP