Stesen radio baharu, tumpu isu kemanusiaan di Gaza

Foto AFP

DEIR EL-BALAH, 14 Februari– Stesen radio baharu “Here Gaza” di Palestin kini menjadi salah satu stesen yang kembali ke udara selepas dua tahun peperangan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Stesen radio baru "Here Gaza" mula kembali bersiaran dari Deir el-Balah selepas perang, memberi suara kepada penduduk tempatan.
  • Fokus utama siaran ialah isu sosial dan situasi kemanusiaan yang teruk di Gaza, termasuk penderitaan dan pengalaman selepas perang.
  • Stesen disokong oleh pembiayaan Kesatuan Eropah, diselia organisasi Filastiniyat, dan boleh diakses melalui FM serta dalam talian.

Dilaporkan, stesen itu bersiaran dari sebuah studio kecil yang terletak di bandar tengah Deir el-Balah.

Menurut pengacaranya, Sylvia Hassan stesen radio itu merupakan impian mereka sejak berbulan-bulan lamanya.

“Ia adalah apa yang kami usahakan dan kadangkala tanpa tidur. Ia satu cabaran dan kisah ketabahan kami,” kata Hassan kepada AFP.

Hassan memaklumkan stesen itu akan memberi tumpuan kepada isu sosial dan situasi kemanusiaan di Gaza, yang masih teruk di wilayah itu meskipun terdapat usaha gencatan senjata oleh Amerika Syarikat antara Israel dengan Hamas sejak Oktober.

Sementara itu, Shereen Khalifa yang merupakan sebahagian pasukan penyiaran menyifatkan stesen radio itu merupakan suara rakyat di Gaza.

“Stesen ini tempat untuk berkongsi masalah dan meluahkan penderitaan dan pengalaman terutamanya selepas perang.

“Banyak isu yang perlu disuarakan kepada orang ramai,” kata Khalifa.

Media melaporkan, kebanyakan daripada lebih dua juta penduduk di Gaza, terpaksa berpindah sekurang-kurangnya sekali sewaktu peperangan.

Ramai yang masih berteduh di khemah dengan kekurangan sanitasi.

Kemudahan telekomunikasi dan elektrik juga musnah akibat perang.

Peperangan itu menyebabkan masalah elektrik menjadi perkara paling serius dan sukar di Gaza.

“Kami mempunyai tenaga solar tetap kadang kala ia tidak berfungsi dengan baik,” kata Khalifa.

Pelancaran stesen “Here Gaza” dibiayai Kesatuan Eropah.

Ia diselia Filastiniyat, organisasi yang menyokong wartawan wanita Palestin dan pusat media di Universiti Kebangsaan An-Najah di Nablus, di Tebing Barat yang diduduki.

Stesen tersebut merancang untuk bersiaran selama dua jam sehari dari Gaza dan lebih lama dari Nablus.

Ia boleh diakses melalui FM dan dalam talian. -AFP