Sri Lanka mula hantar pulang mayat 84 anggota Tentera Laut Iran

Foto AFP

COLOMBO, 13 Mac – Sri Lanka hari ini mula menghantar pulang mayat 84 anggota Tentera Laut Iran yang terkorban selepas kapal perang mereka karam akibat diserang kapal selam Amerika Syarikat (AS) dalam satu kejadian sembilan hari lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerajaan Sri Lanka menyelesaikan prosedur domestik; pesawat khas disediakan oleh Iran untuk proses penghantaran melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Mattala.
  • Seramai 32 anggota diselamatkan dan kekal di Sri Lanka; 22 dibenarkan keluar hospital, ditempatkan di pangkalan tentera udara di selatan.
  • IRIS Bushehr dibenarkan masuk; Sri Lanka melindungi kapal dan 219 anak kapal atas dasar kemanusiaan, jumlah keseluruhan 251 anggota kini di negara ini.

Jurucakap Kementerian Luar, Thushara Rodrigo memberitahu agensi berita AFP, semua prosedur domestik telah selesai dan sebuah pesawat khas telah disediakan oleh pihak Iran bagi proses penghantaran pulang tersebut melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Mattala.

Kesmeua anggota tentera laut berkenaan terkorban apabila kapal IRIS Dena terkena serangan torpedo pada 4 Mac lalu di luar perairan Sri Lanka.

Sementara itu, seramai 32 anggota yang berjaya diselamatkan oleh tentera laut Sri Lanka akan terus kekal di negara itu buat masa ini.

Daripada jumlah tersebut, 22 orang telah dibenarkan keluar dari hospital dan kini ditempatkan di sebuah pangkalan tentera udara di selatan pulau berkenaan.

Dalam perkembangan berkaitan, sebuah lagi kapal perang Iran, IRIS Bushehr telah dibenarkan memasuki perairan Sri Lanka sehari selepas karamnya kapal Dena.

Sri Lanka kini memberikan perlindungan kepada kapal tersebut bersama 219 anak kapalnya atas dasar kemanusiaan.

Pihak berkuasa Sri Lanka memaklumkan bahawa buat masa ini belum ada perbincangan rasmi mengenai penghantaran pulang kru Bushehr serta mangsa yang terselamat daripada kapal Dena.

Bagaimanapun mereka akan dilayan mengikut obligasi perjanjian antarabangsa yang ditandatangani Colombo.

Secara keseluruhan, Sri Lanka kini menampung seramai 251 tentera laut Iran.

Sementara itu, sebuah lagi kapal Iran dilaporkan telah memasuki pelabuhan Kochi di India, di mana 183 anak kapalnya kini berada di bawah jagaan pihak berkuasa India.

Kedua-dua kerajaan Colombo dan New Delhi menegaskan bahawa perlindungan diberikan atas pertimbangan kemanusiaan berikutan kebimbangan mereka mungkin menjadi sasaran serangan lanjut pihak AS.

Kesemua kapal tersebut sebelum ini dilaporkan sedang menyertai latihan ketenteraan laut anjuran India di luar pantai Visakhapatnam apabila konflik melibatkan AS, Israel, dan Iran mula memuncak.-AFP