
COLOMBO, 6 Mac – Kerajaan Sri Lanka telah memulakan proses memindahkan 208 anak kapal daripada vesel kedua tentera laut Iran di luar pesisir pantainya pada Khamis.
- IRIS Dena dilaporkan karam selepas diserang torpedo di perairan antarabangsa, mengakibatkan 87 nyawa terkorban dan beberapa kru hilang.
- Kapal Iran yang berada dekat Pelabuhan Colombo dibantu atas faktor kecemasan dan keselamatan maritim.
- Sri Lanka kekal neutral tetapi memenuhi obligasi antarabangsa untuk memberi bantuan kemanusiaan di laut terbuka.
Tindakan itu diambil sehari selepas insiden serangan kapal selam Amerika Syarikat (AS) terhadap kapal perang Iran, IRIS Dena, yang mengorbankan 87 nyawa manakala beberapa lagi kru dilaporkan masih hilang.
Presiden Sri Lanka, Anura Kumara Dissanayake dalam satu taklimat media memaklumkan, keputusan untuk membantu kapal berkenaan dibuat selepas perbincangan terperinci dilakukan bersama semua pihak berkepentingan.
Beliau menjelaskan, kapal tersebut yang berada berhampiran Pelabuhan Colombo telah dibantu atas faktor kecemasan dan keselamatan maritim.
“Kumpulan kru yang dipindahkan merangkumi pegawai, kadet serta pelaut kanan. Bagaimanapun, sebahagian daripada mereka dikekalkan di atas kapal bagi membantu Tentera Laut Sri Lanka mengemudi vesel tersebut ke Pelabuhan Trincomalee di timur laut pulau ini,” ujar beliau.
Terdahulu, kapal frigat IRIS Dena dilaporkan karam pada Rabu selepas dibedil torpedo di perairan antarabangsa, kira-kira 40 kilometer dari pantai Galle. Lokasi serangan tersebut terletak ribuan batu dari Teluk Parsi, yang kini menjadi medan konflik antara pasukan AS-Israel dan Iran.
Sri Lanka dalam pada itu menegaskan pendiriannya untuk kekal neutral dalam konflik geopolitik tersebut, namun tetap memenuhi obligasi antarabangsa bagi memberikan bantuan kemanusiaan kepada mana-mana pihak yang memerlukan di laut terbuka.