Slovakia bakal tamatkan darurat minyak minggu depan

Foto REUTERS

BRATISLAVA, 1 April– Perdana Menteri Slovakia, Robert Fico pada Rabu memaklumkan bahawa darurat minyak di negara itu dijangka tamat pada minggu depan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Slovnaft mula memulangkan minyak mentah yang dipinjam daripada rizab negara dan dijangka memulangkan keseluruhannya minggu depan.
  • Kilang penapis dijangka beroperasi pada kapasiti penuh 100 peratus bermula pertengahan April.
  • Pinjaman sehingga 250,000 tan minyak mentah diberikan pada Februari selepas gangguan aliran melalui talian paip Druzhba.

Ini susulan tindakan syarikat penapis minyak, Slovnaft mula memulangkan semula bekalan minyak mentah yang dipinjam daripada rizab negara.

Slovnaft, yang merupakan unit di bawah syarikat MOL dari Hungary, dijangka memulangkan keseluruhan pinjaman minyak mentah tersebut menjelang minggu hadapan.

Fico turut menambah bahawa kilang penapis berkenaan dijadualkan beroperasi pada kapasiti penuh 100 peratus bermula pertengahan April ini.

“Memandangkan Slovnaft telah mula memulangkan minyak ke dalam simpanan kita, semua rizab akan dipenuhi semula. Jika ini berlaku menjelang Rabu depan, kita boleh menarik balik status darurat minyak. Langkah ini juga akan membantu Hungary, Republik Czech, dan negara jiran yang lain,” jelas beliau.

Terdahulu pada Februari, Slovnaft telah menerima pinjaman sehingga 250,000 tan minyak mentah daripada rizab negara bagi menguruskan bekalan alternatif.

Langkah itu diambil susulan gangguan aliran menerusi talian paip Druzhba akibat serangan Rusia ke atas infrastruktur tersebut di Ukraine pada Januari lalu. -REUTERS