Singapura sedia penerbangan khas pindahkan rakyat di Asia Barat

Foto Reuters

SINGAPURA, 5 Mac – Singapura sedang mengatur penerbangan repatriasi bagi membawa pulang rakyatnya dari Muscat, Oman pada Sabtu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Singapura atur penerbangan repatriasi dari Muscat untuk bawa pulang rakyatnya dari Oman dan UAE.
  • MFA akan susun perjalanan darat dari Bahrain dan Qatar ke Riyadh untuk akses penerbangan komersial.
  • Kerjasama dengan syarikat penerbangan dan pihak berkuasa tempatan dinilai untuk penerbangan tambahan.
  • Kerajaan hargai usaha negara Teluk dan tekankan keselamatan rakyat Singapura dalam situasi tidak menentu.

Menteri Negara (Ehwal Luar merangkap Perdagangan dan Perusahaan), Gan Siow Huang berkata penerbangan repatriasi itu akan menampung rakyat Singapura yang berada di Oman dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Kira-kira 60 peratus daripada rakyat Singapura yang telah mendaftar secara elektronik dengan Kementerian Luar Singapura (MFA) berada ketika ini.

Gan berkata dalam beberapa hari akan datang, MFA turut akan mengatur perjalanan darat bagi membantu rakyat Singapura yang berada di Bahrain dan Qatar menuju ke Riyadh, Arab Saudi, di mana penerbangan komersial masih tersedia.

“Kami akan menghubungi rakyat Singapura yang baru-baru ini menyatakan bahawa mereka memerlukan bantuan untuk kembali ke Singapura,” katanya kepada pemberita pada Rabu.

Menurut beliau, MFA juga akan bekerjasama dengan syarikat penerbangan serta pihak berkuasa tempatan di Asia Barat bagi menilai kemungkinan mengatur penerbangan repatriasi tambahan, tertakluk kepada laluan penerbangan serta jadual pembukaan semula lapangan terbang.

Sementara itu, Menteri Luar Singapura, Vivian Balakrishnan menyatakan penghargaan kepada negara-negara Teluk atas usaha mereka memastikan keselamatan rakyat Singapura susulan konflik yang sedang berlangsung.

“Kami sedang melakukan yang terbaik untuk memastikan rakyat Singapura berada dalam keadaan selamat dalam situasi yang tidak menentu ini,” katanya.

Beliau turut menambah bahawa republik itu menyokong kenyataan Menteri-Menteri Luar ASEAN mengenai situasi di Asia Barat yang menyifatkan tercetusnya konflik berkenaan sebagai amat membimbangkan.