Singapura minta penjelasan AS berhubung tarif global baharu 15 peratus

Foto REUTERS

SINGAPURA, 22 Februari – Kerajaan Singapura akan mengadakan perbincangan dengan pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS) bagi mendapatkan penjelasan mengenai pelaksanaan tarif baharu 15 peratus ke atas semua barangan yang memasuki negara itu, lapor media tempatan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Singapura akan berhubung dengan pihak berkuasa AS untuk mendapatkan penjelasan mengenai pelaksanaan tarif Seksyen 122 yang baharu.
  • Kerajaan meminta butiran lanjut tentang proses bayaran balik tarif yang berpotensi susulan keputusan Mahkamah Agung AS.
  • Trump mengumumkan kenaikan tarif global kepada 15 peratus, berkuat kuasa serta-merta dan tambahan kepada tarif sedia ada.
  • Singapura digesa menyemak strategi ekonomi untuk memperkukuh daya saing dan meningkatkan daya tahan dalam persekitaran perdagangan baharu.

Memetik laporan The Straits Times (ST), republik itu juga akan meminta butiran lanjut mengenai proses bayaran balik tarif yang berpotensi, susulan keputusan Mahkamah Agung AS baru-baru ini yang menolak bidang kuasa Presiden Donald Trump untuk mengenakan tarif di bawah undang-undang kuasa kecemasan ekonomi 1977.

“Kerajaan Singapura sedang memantau situasi ini dengan teliti dan akan berhubung dengan rakan sejawat kami di AS bagi mendapatkan kejelasan mengenai pelaksanaan tarif Seksyen 122 yang baharu serta proses bayaran balik tarif,” kata jurucakap Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) pada Ahad.

Pada Sabtu, Trump berkata beliau akan menaikkan tarif global kepada 15 peratus daripada 10 peratus, susulan keputusan Mahkamah Agung AS yang membatalkan sebahagian besar langkah perdagangan beliau sebelum ini.

Dalam satu hantaran di Truth Social, Trump menyatakan kenaikan itu akan dikuatkuasakan di bawah Seksyen 122, berkuat kuasa serta-merta dan merupakan tambahan kepada tarif sedia ada.

Sementara itu, saluran berita CNA melaporkan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perdagangan dan Perusahaan, Gan Kim Yong, menggesa negara itu supaya bersedia menghadapi persekitaran perdagangan global yang telah berubah secara fundamental.

“Adalah penting untuk kita terus mengingatkan diri sendiri… kita perlu bersedia untuk jangka masa panjang, dan inilah dunia baharu yang sedang kita hadapi.

Semakan strategi ekonomi kita memainkan peranan yang sangat penting dalam merangka hala tuju masa hadapan bagi memperkukuh daya saing serta memperdalam daya tahan kita, dan ini merupakan bahagian penting dalam gerak kerja,” katanya.- BERNAMA