
NEW DELHI, 16 Februari– Sidang Kemuncak Impak Kecerdasan Buatan (AI) yang bermula pada Isnin bakal membincangkan pelbagai isu besar, bermula daripada gangguan pekerjaan hingga keselamatan kanak-kanak.
- Sidang Kemuncak AI tunjuk kemajuan India dalam sains dan teknologi serta keupayaan belia negara.
- Acara terbesar setakat ini, dijangka lebih 25,000 peserta termasuk 20 ketua negara dan 45 delegasi menteri.
- Kebimbangan sama ada pemimpin dunia akan ambil langkah bermakna untuk memastikan gergasi AI bertanggungjawab.
Bagaimanapun sesetengah peserta memberi amaran bahawa fokus yang terlalu luas boleh mengurangkan peluang untuk komitmen konkrit daripada pemimpin dunia.
Walaupun permintaan yang melonjak terhadap AI generatif telah meningkatkan keuntungan banyak syarikat teknologi, kebimbangan semakin meningkat mengenai risiko yang ditimbulkannya terhadap masyarakat dan alam sekitar.
Menurut Perdana Menteri, Narendra Modi, Sidang Kemuncak membuktikan India sedang maju dalam bidang sains dan teknologi.
“Ia menunjukkan keupayaan belia negara kita,” katanya menerusi kemaskini di platform X.
Sidang Kemuncak kali ini merupakan yang keempat selepas dianjurkan di Paris, Seoul dan Bletchley.
Dilaporkan penganjuran di New Delhi akan menjadi yang terbesar setakat ini dengan kerajaan India menjangkakan penyertaan 25,000 pelawat dari seluruh sektor termasuk 20 pemimpin-pemimpin negara dan 45 delegasi peringkat menteri.
Menurut penganjur, Modi akan berusaha untuk “memperkukuhkan perkongsian global dan menentukan kepimpinan India dalam dekad AI yang akan datang.
Ini menerusi rundingan dengan pemimpin-pemimpin seperti Emmanuel Macron dari Perancis dan Luiz Inacio Lula da Silva dari Brazil.
“Namun, sama ada mereka akan mengambil langkah bermakna untuk memastikan gergasi AI bertanggungjawab masih menjadi persoalan,” kata Pengarah Bersama Eksekutif AI Now Institute, Amba Kak kepada AFP.