Serpihan dipercayai milik ATR 42-500 yang hilang ditemukan di Bukit Bulusaraung – SAR

Antara barang yang ditemukan di Bukit Bulusaraung pagi Ahad/Foto Orang Awam

JAKARTA, 18 Januari – Serpihan besar dipercayai daripada pesawat ATR 42-500 yang hilang ditemukan di Bukit Bulusaraung dalam Daerah Maros, Sulawesi Selatan, pagi Ahad, berhampiran kawasan pesawat peronda itu dilaporkan terputus hubungan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Serpihan besar dipercayai bahagian badan dan ekor pesawat ditemui di Bukit Bulusaraung, Maros.
  • Penemuan dibuat oleh pasukan darat sekitar 7.49 pagi di lereng bukit sebelah selatan.
  • Operasi penghantaran pasukan ke lokasi sukar kerana rupa bumi curam menyukarkan turun ke tapak.
  • Kira-kira 500 anggota disiapkan untuk operasi SAR sementara nasib 10 individu masih belum jelas.

Ketua Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) Makassar Andi Sultan berkata pasukan darat mengesan serpihan yang disyaki sebagai bahagian badan dan ekor pesawat pada sekitar 7.49 pagi waktu tempatan.

“Serpihan tersebut ditemukan di lereng, di sebelah selatan, di bahagian bawah lereng bukit,” katanya dalam video yang dikongsi kepada media, pada Ahad.

Kementerian Hal Ehwal Maritim dan Perikanan Indonesia mengesahkan bahawa pesawat yang hilang itu, dikendalikan oleh Indonesia Air Transport (IAT) dan didaftarkan sebagai PK-THT adalah pesawat perondanya.

Pesawat yang membawa tujuh kru dan tiga penumpang itu dilaporkan terputus hubungan sekitar tengah hari pada Sabtu di ruang udara Daerah Maros semasa dalam perjalanan dari Yogyakarta ke Makassar.

Andi berkata berikutan penemuan itu, satu pasukan telah dihantar ke lokasi, namun usaha menyelamat masih mencabar disebabkan rupa bumi yang curam, menimbulkan kesukaran untuk turun ke lokasi badan pesawat.

Beliau menambah kira-kira 500 anggota kini berada dalam keadaan sedia untuk membantu dalam operasi SAR yang sedang dijalankan.

Setakat ini, nasib 10 individu di dalam pesawat itu masih belum jelas. – BERNAMA