Serangan udara Israel burukkan krisis pelarian di Lubnan

FOTO AFP

BEIRUT, 17 Mac – Israel membedil tiga kawasan kediaman di Beirut pada Selasa, lapor media kerajaan Lubnan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Lebih sejuta penduduk terpaksa meninggalkan rumah dalam dua minggu, memperburuk krisis kemanusiaan di Lubnan.
  • Hizbullah disokong Iran menyerang Israel pada 2 Mac sebagai balasan serangan yang mengorbankan pemimpin tertinggi Iran Ali Khamenei.
  • Israel melancarkan serangan udara ke utara Lubnan dan serbuan sempadan, menyerang Kafaat, Haret Hreik dan Doha Aramoun.
  • Konflik meragut 886 nyawa, mencederakan 2,141, dan lebih 130,000 ditempatkan di lebih 600 pusat perlindungan sementara.

Kejadian berkenaan berlaku ketika lebih sejuta penduduk dilaporkan terpaksa meninggalkan rumah masing-masing dalam tempoh dua minggu konflik yang semakin memburukkan krisis kemanusiaan di negara itu.

Lubnan terjerumus ke dalam perang Asia Barat pada 2 Mac apabila militan Hizbullah yang disokong Iran menyerang Israel bagi membalas serangan AS-Israel yang mengorbankan pemimpin tertinggi Iran, Ali Khamenei.

Sebagai tindak balas, Israel melancarkan serangan udara ke atas Lubnan utara serta menyerbu kawasan sempadan.

Agensi Berita Kebangsaan Lubnan (NNA) melaporkan satu siri serangan dan tembakan artileri menyasarkan bandar selatan pada awal pagi.

Pesawat tentera Israel melakukan dua serangan udara di kawasan Kafaat dan Haret Hreik serta satu lagi serangan di sebuah bangunan apartmen kediaman di Doha Aramoun.

Seorang wanita warga Ethiopia cedera dalam serangan itu, menurut kementerian kesihatan Lubnan.

Konflik berkenaan telah meragut 886 nyawa, termasuk 67 wanita dan 111 kanak-kanak, manakala 2,141 yang lain cedera, menurut kementerian kesihatan Lubnan.

Pihak berkuasa Lubnan berkata lebih 130,000 penduduk kini ditempatkan di lebih 600 pusat perlindungan sementara, manakala lebih sejuta lagi berdaftar sebagai pelarian.

Sementara itu, tentera Israel turut mengeluarkan amaran pemindahan besar-besaran di selatan Lubnan, meliputi lebih 40 kilometer dari sempadan negara itu.

Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz memberi amaran agar penduduk Lubnan yang terpaksa berpindah tidak kembali ke rumah mereka di selatan Litani sehingga keselamatan penduduk utara Israel dijamin.

Serangan berterusan ini menekankan kesan tragis terhadap penduduk awam Lubnan, di tengah-tengah konflik yang semakin memburukkan krisis pelarian dan kemanusiaan di rantau ini. – AFP