Serangan terbaharu Israel di Gaza ragut tiga nyawa

FOTO REUTERS

GAZA, 28 Februari – Tentera Israel melancarkan serangan di beberapa lokasi di utara, tengah dan selatan Semenanjung Gaza pada Jumaat, mengorbankan sekurang-kurangnya tiga individu, menurut laporan Agensi Berita dan Maklumat Palestin (WAFA).

RINGKASAN BERITA AI
  • Serangan Israel melibatkan beberapa lokasi di utara, tengah dan selatan Semenanjung Gaza.
  • Serangan di Beit Lahia menyebabkan dua kematian akibat serangan membabi buta.
  • Dron serang khemah di Khan Younis, membunuh seorang dan mencederakan tiga mangsa.
  • IDF dakwa lelaki bersenjata Palestin keluar dari infrastruktur bawah tanah di timur Rafah.

Di Beit Lahia, utara Gaza, dua mangsa dilaporkan maut akibat serangan membabi buta berkenaan.

Sementara itu di Khan Younis, selatan Gaza, sebuah dron Israel dilaporkan menyerang khemah yang menempatkan penduduk berpindah di dalam kawasan sebuah sekolah, mengorbankan seorang individu serta mencederakan tiga yang lain, menurut laporan sama.

Pasukan Pertahanan Israel (IDF) dalam kenyataan pada Jumaat memaklumkan beberapa lelaki bersenjata Palestin dikesan keluar dari infrastruktur bawah tanah di timur Rafah pada Khamis, yang disifatkan sebagai pelanggaran terhadap perjanjian gencatan senjata.

Sebagai tindak balas, tentera Israel melaksanakan serangan tepat menyasarkan anggota bersenjata Hamas di Rafah bermula malam Khamis hingga awal pagi Jumaat.

Setakat ini, Hamas belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung insiden tersebut.

Perjanjian gencatan senjata antara Israel dan Hamas di Semenanjung Gaza mula berkuat kuasa pada 10 Oktober 2025.-REUTERS