Serangan Israel di Beirut cetus ketegangan baharu

FOTO HIASAN

BEIRUT, 13 April – Asap dilaporkan kelihatan menyelubungi pinggir selatan Beirut awal pagi Ahad susulan serangan Israel ke atas Lubnan, ketika rundingan damai antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran di Islamabad berakhir tanpa sebarang persetujuan.

RINGKASAN BERITA AI
  • AS menyatakan kekangan perbincangan dan penolakan Iran terhadap syarat AS, termasuk komitmen tidak membangunkan senjata nuklear.
  • Agensi Tasnim menyifatkan tuntutan AS sebagai "berlebihan" sebagai punca utama perbezaan.
  • Tehran menuntut pembebasan aset luar negara, kawalan Selat Hormuz, pampasan perang dan gencatan senjata menyeluruh termasuk Lubnan.
  • Israel meneruskan serangan terhadap Hezbollah di Lubnan dan menegaskan konflik itu bukan sebahagian skop gencatan antara Iran dan AS.

Perkembangan itu memburukkan lagi keadaan gencatan senjata rapuh yang sudah sedia tertekan, dengan ketegangan serantau kembali memuncak.

Naib Presiden AS, JD Vance berkata pasukan rundingan negaranya meninggalkan Pakistan selepas gagal mencapai kata sepakat dengan Iran, walaupun rundingan berlangsung selama 21 jam.

Menurut beliau, kegagalan itu berpunca daripada kekangan dalam perbincangan selain Iran enggan menerima syarat dikemukakan Washington, termasuk komitmen untuk tidak membangunkan senjata nuklear.

Sementara itu, agensi berita separa rasmi Iran, Tasnim News Agency melaporkan tuntutan AS yang disifatkan sebagai “berlebihan” menjadi punca utama kegagalan rundingan.

Sebelum kenyataan Vance, kerajaan Iran menerusi platform X memaklumkan rundingan masih akan diteruskan, dengan pakar teknikal kedua-dua pihak dijangka bertukar dokumen bagi mencari jalan penyelesaian.

Dalam perkembangan sama, Tehran dilaporkan menuntut beberapa syarat termasuk pembebasan aset negara di luar negara, kawalan ke atas Selat Hormuz, bayaran pampasan perang serta pelaksanaan gencatan senjata menyeluruh di rantau berkenaan termasuk di Lubnan.

Sekutu AS, Israel yang turut terlibat dalam serangan ke atas Iran pada 28 Februari lalu, terus melancarkan serangan terhadap kumpulan bersenjata disokong Tehran, Hezbollah di Lubnan.

Israel menegaskan konflik dengan Hezbollah tidak termasuk dalam skop gencatan senjata antara Iran dan AS.-REUTERS