Serangan dron jejas kemudahan tenaga di Oman, UAE

Kepulan asap dari kilang penapisan minyak Saudi di kilang pengeluaran minyak Ras Tanura, berhampiran Dammam di wilayah timur Arab Saudi, selepas serangan dron/ AFP

MUSCAT, 4 Mac – Beberapa dron menyerang sebuah tangki bahan api di Oman pada Selasa manakala di Emiriah Arab Bersatu (UAE), satu zon penyimpanan minyak turut menjadi sasaran ketika Iran meneruskan kempen terhadap ekonomi negara Teluk susulan serangan Amerika Syarikat dan Israel.

RINGKASAN BERITA AI
  • Beberapa dron menyerang tangki bahan api dan Pelabuhan Duqm di Oman, dengan kerosakan dikawal tanpa kemalangan jiwa.
  • Di UAE, serpihan dron mencetuskan kebakaran di zon simpanan minyak Fujairah; kebakaran berjaya dipadam dan operasi disambung semula.
  • QatarEnergy menggantung pengeluaran LNG selepas serangan dron ke atas dua fasiliti, menjejaskan bekalan tenaga serantau.
  • Sebuah kapal tangki di perairan Oman diserang, mengakibatkan kematian seorang kru dan letupan di bilik enjin utama.

Serangan itu berlaku selepas Iran memperluas sasaran termasuk infrastruktur di Arab Saudi, UAE dan Qatar yang menyaksikan syarikat tenaga milik negara menggantung pengeluaran gas asli cecair (LNG), sekali gus melonjakkan harga tenaga di Eropah.

Menurut sumber keselamatan yang dilaporkan agensi berita rasmi Oman, beberapa dron turut menyasarkan Pelabuhan Duqm di pantai timur negara itu.

Laporan itu menyatakan kerosakan berjaya dikawal tanpa sebarang kemalangan jiwa. Serangan tersebut merupakan yang kedua ke atas pelabuhan berkenaan dalam tempoh tiga hari, meskipun Oman sebelum ini bertindak sebagai pengantara antara Iran dan Amerika Syarikat beberapa hari sebelum perang tercetus.

Pada Ahad, seorang pekerja cedera apabila dua dron melanda pelabuhan sama. Sebuah daripadanya mengenai penempatan pekerja, manakala serpihan dron kedua jatuh berhampiran tangki bahan api. Ia merupakan serangan pertama ke atas Oman sejak konflik bermula.

Di UAE, serpihan dron yang dipintas menyebabkan kebakaran di zon penyimpanan dan perdagangan minyak di Emiriah Fujairah, menurut pihak berkuasa.

“Tiada kecederaan dilaporkan, kebakaran berjaya dikawal dan operasi di kawasan berkenaan kembali seperti biasa,” menurut Pejabat Media Fujairah.

QatarEnergy, antara pengeksport LNG terbesar dunia, menggantung pengeluaran susulan serangan dron terhadap dua fasilitinya pada Isnin.

Pada hari sama, sebuah dron turut melanda terminal tangki bahan api di ibu negara UAE, Abu Dhabi, menyebabkan kebakaran, namun operasi tidak terjejas.

Sebuah kapal tangki minyak turut diserang di perairan Oman pada hari sama yang telah mengorbankan seorang kru selepas letupan berlaku di bilik enjin utama kapal tersebut.- AFP