Serangan AS ke atas Iran bertujuan halang pembangunan bom nuklear – Trump

Trump kekal menggunakan alasan sama bagi ‘menghalalkan’ tindakannya ke atas Iran / REUTERS

WASHINGTON, 5 Mac – Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump berkata pada Rabu bahawa serangan oleh tentera AS dan Israel ke atas Iran adalah perlu bagi menghalang Tehran daripada membangunkan senjata nuklear, sambil mendakwa yang jika Washington tidak bertindak terlebih dahulu, Iran mungkin menyerang Israel, lapor Anadolu Ajansi (AA).

RINGKASAN BERITA AI
  • Trump mendakwa serangan AS dan Israel perlu untuk menghalang Iran membangunkan senjata nuklear.
  • Beliau menegaskan tindakan Jun lalu menjejaskan ketara keupayaan nuklear Iran.
  • Ketegangan meningkat selepas serangan besar, dengan balasan dron dan peluru berpandu Iran ke arah Israel dan negara Teluk.

“Jika kami tidak menyerang dalam tempoh dua minggu, mereka akan memiliki senjata nuklear,” kata Trump ketika berucap pada satu acara di White House.

Beliau juga mengulangi dakwaannya bahawa serangan AS ke atas Iran pada Jun lalu menjejaskan dengan ketara keupayaan nuklear negara itu.

‘’Ia memusnahkan sepenuhnya potensi nuklear mereka dan itu menjejaskan kemajuan program mereka dengan amat ketara,” katanya.

Ketegangan serantau semakin memuncak sejak AS dan Israel melancarkan serangan berskala besar ke atas Iran pada Sabtu, dan meragut nyawa lebih 900 orang, termasuk Pemimpin Agung Ayatollah Ali Khamenei serta pegawai tertinggi tentera.

Iran kemudian bertindak balas dengan melancarkan serangan dron dan peluru berpandu yang menyasarkan Israel serta beberapa negara Teluk yang menempatkan aset ketenteraan AS.-BERNAMA