Serangan AS-Israel di Asia Barat jejaskan rakyat dan ekonomi global

FOTO REUTERS

TEHRAN, 17 Mac – Serangan berterusan yang dilancarkan Israel bersama Amerika Syarikat (AS) ke atas Tehran dan Beirut semakin memburukkan krisis kemanusiaan di Asia Barat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Serangan Israel-AS telah meragut ratusan nyawa awam dan menyasarkan 'infrastruktur rejim', memperparah krisis kemanusiaan.
  • Serangan udara di Beirut menyebabkan lebih sejuta pengungsian; 130,000 ditempatkan di pusat perlindungan sementara.
  • Tindakan agresif menimbulkan ketidaktentuan pasaran; harga minyak melonjak lebih 40% dan kos sara hidup dunia meningkat.

Manakala tindakan agresif kedua-dua negara terus menggugat ekonomi dunia.

Tehran terus dibedil hampir setiap hari sejak 28 Februari, dengan tentera Israel mendakwa menyasarkan “infrastruktur rejim” meskipun serangan itu telah meragut ratusan nyawa awam.

Di Lubnan, serangan udara Israel pada awal pagi Selasa menyasarkan sebuah bangunan kediaman di pinggir selatan Beirut, kawasan kubu kuat kumpulan bersenjata pro-Iran, Hizbullah, sekali gus memaksa lebih sejuta penduduk menjadi pelarian dan 130,000 ditempatkan di pusat perlindungan sementara.

Serangan ini turut menarik Iraq ke kancah konflik apabila kedutaan AS di Baghdad diserang dengan dron dan roket.

Manakala sebuah rumah yang menempatkan penasihat Iran dibedil, mengorbankan empat nyawa.

Krisis berkenaan telah menjejaskan ekonomi global apabila harga minyak melonjak lebih 40 peratus akibat gangguan di Selat Hormuz, laluan utama penghantaran minyak dunia. Tindakan agresif AS-Israel menimbulkan ketidaktentuan pasaran, menaikkan kos sara hidup dan menambah tekanan terhadap rakyat di seluruh dunia.

Presiden Donald Trump turut mendesak negara lain menyertai armada pengiring kapal tangki, meskipun banyak negara menolak untuk terlibat, menunjukkan sikap unilateral yang mengundang kritikan antarabangsa.

Sementara itu, Iran tetap bersikap defensif, dengan Menteri Luar, Abbas Araghchi menegaskan negara itu bersedia mempertahankan diri dan membalas serangan, sambil menegaskan bahawa tindakan AS-Israel telah mencetuskan krisis kemanusiaan dan pelarian yang besar, termasuk sehingga 3.2 juta penduduk kehilangan tempat tinggal di Iran.

Konflik yang berterusan itu kini menjejaskan kehidupan jutaan rakyat di rantau ini serta mengancam kestabilan ekonomi global, menekankan kesan buruk tindakan agresif AS dan Israel. – AFP