Sepanyol bertegas enggan terlibat konflik dengan Iran

Sepanyol kekal pendirian enggan masuk campur konflik yang ditimbulkan AS-Israel / AFP

MADRID, 5 Mac – Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sanchez membalas kritikan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump berhubung keengganan Madrid membenarkan pesawat AS menggunakan pangkalan tenteranya untuk menyerang Iran.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerajaan Sepanyol menegaskan tidak akan menyokong serangan terhadap Iran untuk menjaga keamanan global dan nilai negara.
  • Keputusan Madrid disokong oleh banyak negara dan rakyat yang menentang peningkatan peperangan di peringkat antarabangsa.
  • Ketegangan dengan AS melibatkan kritikan Trump, ancaman perdagangan, dan isu perbelanjaan pertahanan NATO.

Dalam satu ucapan yang disiar di televisyen nasional pada Rabu, Sanchez menyatakan pendirian kerajaan untuk tidak terlibat dalam tindakan yang dilihatnya sebagai merbahaya kepada keamanan global dan bercanggah dengan nilai serta kepentingan negara.

Beliau berkata demikian sehari selepas Trump mengancam untuk memutuskan semua hubungan perdagangan dengan Sepanyol.

“Kami tidak akan bersubahat dalam sesuatu yang memudaratkan dunia dan bertentangan dengan nilai serta kepentingan kami, semata-mata kerana takut akan tindak balas,” tambahnya.

Sanchez turut menegaskan bahawa pendiriannya turut dikongsi oleh banyak negara lain dan berjuta-juta rakyat di seluruh Eropah, Amerika Utara, dan Timur Tengah yang tidak mahukan lebih banyak peperangan.

Trump terdahulu menyifatkan Sepanyol sebagai ‘sekutu yang teruk’.

Beliau turut membangkitkan keengganan Sanchez untuk menyertai sekutu NATO lain dalam ikrar meningkatkan perbelanjaan pertahanan kepada 5% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Kerajaan sayap kiri pimpinan Sanchez telah menimbulkan kemarahan Washington melalui beberapa siri dasar lain, termasuk penentangan kerasnya terhadap pencerobohan Israel di Gaza dan operasi ketenteraan untuk menculik serta menangkap Presiden Venezuela, Nicolas Maduro.

Tentera AS menggunakan Pangkalan Tentera Laut Rota dan Pangkalan Udara Moron di Sepanyol.

Semasa pencerobohan Iraq pada tahun 2003, Sepanyol yang ketika itu dipimpin oleh perdana menteri konservatif Jose Maria Aznar, memberikan sokongan padu kepada Amerika Syarikat.-AFP