
LISBON, 5 Februari – Ribut Leonardo yang membawa hujan lebih 40 sentimeter dalam tempoh 24 jam di Semenanjung Iberia pada Rabu, mengorbankan satu nyawa serta memaksa ribuan penduduk dipindahkan, selain menyebabkan sekolah ditutup dan perkhidmatan kereta api digantung.
- Seorang lelaki sekitar 60-an maut dihanyutkan arus deras ketika cuba meredah banjir di Serpa, Portugal.
- Lebih 3,300 kejadian banjir, tanah runtuh dan pokok tumbang dilaporkan, banyak kawasan terjejas teruk.
- Beribu-ribu penduduk dipindahkan; sekolah ditutup dan perkhidmatan kereta api di Andalusia digantung.
- Amaran hujan lebat di Andalusia termasuk amaran merah; tentera dikerah untuk operasi menyelamat.
Menurut Jurucakap Pihak Berkuasa Perlindungan awam kebangsaan Portugal, seorang lelaki berusia lingkungan 60-an, maut selepas dihanyutkan arus deras ketika cuba meredah banjir di Serpa, tenggara negara itu.
“Sebuah kenderaan ditemui dengan seorang penumpang, jadi terdapat satu kematian,” kata jurucakap itu, sambil menambah bahawa kematian tersebut berlaku berhampiran empangan di bandar Serpa.
Lebih 3,300 kejadian banjir, tanah runtuh dan pokok tumbang dilaporkan, dengan beberapa kawasan termasuk Alcacer do Sal dilanda banjir teruk.
Kira-kira 300 penduduk dipindahkan di tengah Portugal dengan pihak berkuasa memberi amaran hujan lebat dan angin kencang dijangka berterusan, khususnya di kawasan Lisbon dan Algarve.
Di Sepanyol, agensi cuaca AEMET mengeluarkan amaran merah di beberapa kawasan di daerah selatan Andalusia berikutan hujan lebat luar biasa yang boleh mencetuskan banjir dan tanah runtuh.
Datuk Bandar Ronda, Maria Paz Fernandez, memberitahu stesen penyiar rasmi RTVE bahawa hujan lebat yang berterusan mengakibatkan tanah runtuh berlaku di beberapa kawasan luar bandar.
Sementara itu, Pegawai kanan Kecemasan Andalusia, Antonio Sanz berkata situasi amat membimbangkan di kawasan pergunungan Grazalema dengan AEMET meramalkan taburan hujan sehingga 35 sentimeter dalam tempoh 24 jam.
“Lebih 3,500 penduduk dipindahkan, lebih daripada 650 insiden dilaporkan dengan tiada kerosakan teruk berlaku. Seorang mangsa cedera akibat bangunan runtuh,” katanya dalam sidang media khas mengenai situasi semasa di Ronda, Sepanyol.
Semua sekolah di wilayah itu turut ditutup kecuali di Almeria.
Ribut berkenaan juga memaksa hampir semua perkhidmatan kereta api di Andalusia, dibatalkan dengan tiada perkhidmatan bas ganti disediakan berikutan jalan raya ditutup.
Ratusan anggota tentera turut dikerah bagi membantu operasi menyelamat. -AFP