
GAZA, 4 Februari – Agensi Pertahanan Awam Gaza memaklumkan bahawa serangan udara Israel pada Rabu telah mengorbankan sembilan orang di wilayah Palestin, termasuk tiga kanak-kanak.
- Sembilan orang terbunuh dalam serangan udara Israel di Gaza, termasuk tiga kanak-kanak.
- Serangan menyebabkan sekurang-kurangnya 31 lagi cedera.
- Mayat dibawa ke Hospital Nasser dan Hospital Al-Shifa selepas serangan di Khan Yunis dan Bandar Gaza.
- Keganasan berterusan walaupun gencatan senjata peringkat kedua, dengan pelanggaran dan korban berterusan.
Menurut Agensi Pertahanan Awam Gaza, insiden turut menyebabkan sekurang-kurangnya 31 lagi mengalami kecederaan.
“Tiga mayat dibawa ke Hospital Nasser selepas serangan Israel mengenai khemah dan rumah di kawasan selatan Khan Yunis.
“Enam mayat lagi dibawa ke Hospital Al-Shifa selepas serangan sama di Bandar Gaza, pusat bandar terbesar di wilayah itu,” menurut kenyataan itu.
Kekejaman terbaru itu berlaku beberapa hari selepas Israel membuka semula lintasan Rafah antara Gaza dan Mesir; satu-satunya laluan keluar bagi rakyat Gaza yang tidak melalui Israel.
Walaupun gencatan senjata yang dirundingkan Amerika Syarikat memasuki fasa kedua bulan lalu, keganasan terus berlaku di Gaza, dengan Israel dan Hamas saling menuduh melanggar perjanjian itu.
Gencatan senjata itu berulang kali dicemari dengan kekerasan oleh Israel.
Kementerian Kesihatan Gaza menyatakan sekurang-kurangnya 523 orang maut dalam serangan Israel sejak gencatan senjata itu berkuat kuasa pada 10 Oktober.
Hari Sabtu antara hari paling maut, dengan Agensi Pertahanan Awam Gaza melaporkan sekurang-kurangnya 32 orang terbunuh dalam serangan Israel. – AFP